Isu Gelaran ‘Dr’ Taufiq Johari: MMC Tegaskan Title Tidak Ekslusif Untuk Pengamal Perubatan Sahaja

LocalPolitics
24 Dec 2025 • 1:27 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Semalam (23 Disember), Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa penggunaan gelaran ‘Dr’ tidak ekslusif kepada pengamal perubatan sahaja.

Gelaran itu turut digunakan oleh doktor pergigian, doktor veterinar, serta pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam pelbagai bidang akademik.

Menurut MMC, walaupun title ‘Dr’ tidak hanya terhad kepada pengamal perubatan, namun penggunaan gelaran itu tidak memberi hak kepada individu lain untuk mengamalkan bidang perubatan di Malaysia tanpa kelulusan.

Graduan Perubatan Juga Boleh Guna Title ‘Dr’

Dalam masa sama, graduan perubatan daripada program ijazah perubatan juga dibenarkan untuk menggunakan ‘Dr’ sebagai tanda kelayakan akademik.

“Kebenaran untuk mengamalkan perubatan adalah tertakluk kepada pematuhan terhadap Akta Perubatan 1971 dan Peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.

“Bagi graduan perubatan yang memperoleh kelayakan daripada program perubatan yang tidak tersenarai dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971, pertimbangan bagi tujuan pendaftaran untuk menjalankan amalan perubatan adalah tertakluk kepada keperluan ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang berkenaan.

“Ini termasuk lulus peperiksaan yang ditetapkan serta menjalani latihan siswazah di hospital latihan siswazah yang diiktiraf di negara ini,” kata MMC.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama, ramai percaya kenyataan ini ada kaitan dengan isu membabitkan Menteri Belia & Sukan yang baru dilantik Dr Taufiq Johari.

Semua Individu Yang Amalkan Perubatan Perlu Daftar Di Bawah MMC & Ada Sijil PAT

Sementara itu, MMC turut menegaskan bahawa semua individu yang mengamalkan perubatan mestilah berdaftar dengan agensi terbabit dan memegang sijil Perakuan Amalan Tahunan (PAT) yang sah sebelum menjalankan sebarang bentuk amalan perubatan.

“Orang awam digalakkan untuk membuat semakan status pendaftaran mana-mana pengamal perubatan melalui Medical Register Information and Technical System (MeRITS), di https://merits.mmc.gov.my/. Sebarang keraguan atau aduan berkaitan kemungkinan penyamaran atau salah guna gelaran boleh disalurkan kepada admin.mmc@moh.gov.my.”

Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Penerangan Pusat PAS, Nurul Islam Yusoff menggesa Dr Taufiq Johari menjelaskan penggunaan gelaran ‘Dr’ di hadapan namanya memandangkan beliau merupakan graduan universiti tidak diiktiraf, lapor Malaysiakini.

Nurul Islam menggesa penjelasan itu selepas mendapati Dr Taufiq tidak berdaftar dengan MMC dan memperoleh ijazah perubatannya dari Universitas Islam Bandung, yang tidak diiktiraf oleh Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut meminta penjelasan menteri terbabit mengenai dakwaan pernah berkhidmat sebagai doktor di sebuah klinik di Sungai Petani.