MELAKA - Sin Sing Coffee Sdn Bhd menafikan dakwaan yang mengaitkan syarikat itu dengan penarikan sijil halal susulan isu penggunaan berus bulu babi seperti yang tular di media sosial sejak Rabu.
Dalam satu kenyataan, syarikat berkenaan menjelaskan maklumat serta gambar yang tersebar tidak mempunyai kaitan dengan operasi mereka, malah bukan merupakan persekitaran atau peralatan pengeluarannya.
Menurutnya, Sin Sing Coffee Sdn Bhd hanya memberi tumpuan kepada pengeluaran produk kopi dan tidak menghasilkan sebarang produk biskut seperti didakwa.
“Syarikat kami sentiasa mematuhi piawaian dan keperluan pensijilan halal Malaysia.
“Semua proses pengeluaran adalah selaras dengan garis panduan kebersihan serta syariah yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menarik sijil halal sebuah kilang memproses kopi dan biskut di negeri ini selepas disyaki menggunakan berus bulu babi dalam kerja pembersihan peralatan kilang.
Kesalahan itu dikesan ketika pemeriksaan dijalankan oleh Bahagian Pengurusan Halal JAIM pada Januari lalu yang mendapati pekerjanya menggunakan berus yang diperbuat daripada bulu haiwan tersebut untuk membersihkan peralatan berkenaan.
Bagaimanapun JAIM tidak menyertakan nama kilang dimaksudkan itu menimbulkan spekulasi dalam kalangan penggunaan media sosial mengaitkan penarikan sijil dimaksudkan itu ialah Sin Sing Coffee
Syarikat itu menegaskan, status halal mereka masih sah dan diiktiraf.
Ujarnya, orang ramai boleh membuat semakan melalui portal rasmi Halal Malaysia di https://myehalal.halal.gov.my/portal-halal/v1/ dengan carian Sin Sing Coffee.
Syarikat yang telah beroperasi lebih 67 tahun itu turut menegaskan komitmennya dalam menghasilkan produk berkualiti serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Pihaknya menasihati orang ramai agar tidak mempercayai maklumat yang tidak disahkan atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham.
