
Isu Hantaran PM Anwar Diturunkan, Meta Mohon Maaf
Meta Platforms Inc (Meta) membuat permohonan maaf berikutan penurunan kandungan daripada akaun Faceboook dan Instagram Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh pada minggu lalu, lapor Astro Awani.
Sebelum ini, kerajaan telah memohon penjelasan selepas hantaran ucapan takziah terhadap Ismail Haniyeh itu dipadamkan di kedua-dua platform milik syarikat itu.
“Kami memohon maaf atas kesilapan operasi di mana kandungan daripada halaman Facebook dan Instagram Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) telah dialih keluar dan kandungan itu telah dipulihkan dengan label yang betul,” kata jurucakap Meta dalam jawapan e-mel kepada soalan yang ditanyakan.
Walau bagaimanapun, alasan kandungan Perdana Menteri dipadam tidak dinyatakan secara jelas dalam permohonan maaf ringkas itu.
Dalam pada itu, Astro Awani kini dalam usaha untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu itu daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Semalam, PMO meminta agar Meta memohon maaf secara terbuka, selain memohon agar mereka memberikan penjelasan yang terperinci atas tindakan tersebut.
Perkara itu dinyatakan kepada wakil Meta Inc, yang dipanggil oleh Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO di Putrajaya.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din antara individu yang hadir dalam pertemuan itu.
Terdahulu, Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di ibu negara Iran, Tehran, lapor Bernama yang memetik Agensi Anadolu.
“Hamas berdukacita kepada rakyat Palestin, kepada negara Arab dan Islam di seluruh dunia atas kematian syahid Ismail Haniyeh, ketua kumpulan ini yang terkorban dalam serangan Zionis ke atas kediamannya di Tehran selepas menghadiri majlis pelantikan presiden Iran yang baharu,” menurut kenyataan itu di Telegram.
Sumber: Astro Awani
The post Isu Hantaran PM Anwar Diturunkan, Meta Mohon Maaf appeared first on Siakap Keli.


