
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, kecoh di media sosial perkongsian kumpulan sukarelawan, Hiyaz Community mengenai sebuah hentian bas yang telah dibersih dan dibaiki oleh mereka.
Menerusi hantaran di Facebook, Hiyaz Community mendakwa hentian bas tersebut telah dibersih dan dicat baharu bagi menghadapi musim tengkujuh sekaligus memudahkan orang ramai khususnya rider berteduh ketika cuaca hujan lebat.
Walau bagaimanapun, hentian bas berkenaan telah dirobohkan sehingga menimbulkan persoalan dan rasa kurang senang segelintir pihak memandangkan ia baru sahaja dibaiki dan dicat oleh kumpulan sukarelawan itu.
View on Threads
NGO Diminta Rujuk Dengan PBT Sebelum Buat Aktiviti Sosial, Elak Salah Faham
Semalam (23 November), Kerajaan Negeri Kelantan menyarankan agar mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membuat rujukan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum membuat aktiviti sosial dan masyarakat.
Ia termasuklah perbuatan membersih dan menghias hentian bas di negeri terbabit.
Menurut Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, langkah itu bagi mengelakkan dari berlakunya salah faham di antara NGO dan PBT.
Ini kerana jelas Mohamed Fadzli, berlakunya salah faham terhadap pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) seperti kes meroboh hentian bas di kawasan terbabit memandangkan PBT berkenaan telah mempunyai rancangan dan peruntukan bagi membaiki hentian bas termasuk yang menjadi isu itu.
“MPKB-BRI bukan sahaja mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri, malah daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Jadi di sini mungkin ada sedikit salah faham.
“Jadi saya rasa dalam hal itu, untuk mengelakkan daripada berlaku salah faham, mana-mana pihak NGO boleh merujuk dan bekerjasama dengan MPKB-BRI,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.
NGO Boleh Tanya Kepada MPKB-BRI Isu Hentian Bas
Mengulas lanjut mengenai isu itu, Mohamed Fadzli menjelaskan pihak NGO boleh bertanya kepada MPKB-BRI terlebih dahulu.
“Ini kerana kita tidak mahu berlaku (salah faham) sebegini. Tempat itu nak dirobohkan, tiba-tiba ada NGO (Hiyaz Community) datang bersihkan.
“Apabila dirobohkan, jadilah sebegitu (salah faham). Jadi saya rasa isu sebegitu boleh kita elakkan sekiranya ada persefahaman antara pihak NGO dengan pihak berautoriti,” jelasnya.
Terdahulu, kumpulan sukarelawan yang dikenali sebagai Hiyaz Community meluahkan rasa sedih apabila hentian bas yang baru dicat dan dibersihkan sebagai persiapan berdepan musim tengkujuh telah dirobohkan.
Projek Naik Taraf Hentian Bas Sedang Dilaksanakan, MPKB-BRI Ada Hubungi Hiyaz Community
Perkara sama turut dikongsikan oleh MPKB-BRI dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan projek naik taraf dan baik pulih hampir 50 hentian bas di Kota Baharu sedang berlangsung dan dijangka siap pada bulan hadapan dengan peruntukan yang diperolehi daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Malah, MPKB-BRI menjelaskan pihaknya ada menghubungi Hiyaz Community pada 26 Oktober lalu iaitu sebelum projek bermula serta makluman awal mengenai perancangan naik taraf juga telah disampaikan.
Bukan itu sahaja, MPKB-BRI mendakwa telah mempelawa Hiyaz Community untuk berbincang namun tiada maklum balas yang diterima oleh mereka sehingga hantaran tersebut dikeluarkan.
Susulan itu, pihak MPKB-BRI meluahkan rasa kesal dengan hantaran media sosial yang telah menimbulkan salah faham serta persepsi negatif.
Baca Artikel Berkaitan:
PRN: Kerajaan Negeri Kelantan Sedia Bas Untuk Mahasiswa Pulang Mengundi


