
TAWAU: Petisyen yang mendesak supaya pemegang dokumen IMM13 di Sabah dihalau keluar dari negara ini perlu dikaji secara mendalam oleh pihak berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata ini bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil selaras dengan undang-undang negara serta komitmen antarabangsa Malaysia.
Beliau berkata sejarah dan latar belakang pemegang IMM13 juga perlu difahami dengan jelas sebelum sebarang keputusan dilakukan.
“Kita berikan kuasa kepada pihak KDN dan juga Kementerian Luar untuk mengkaji perkara ini. Saya tidak mahu membuat komen awal tetapi saya harap perkara ini diteliti betul-betul dan sejarah IMM13 difahami dengan baik.
“Kita mengambil maklum petisyen ini tetapi akhirnya kita perlu bertindak mengikut perlembagaan, undang-undang negara dan juga dasar antarabangsa,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna media sosial Jestie Alexius dalam hantarannya pada Ahad lalu menyatakan akan membuat petisyen bagi mendesak pengusiran pelarian Selatan Filipina yang memegang dokumen IMM13 di Sabah.
Petisyen itu bertajuk ‘Hantar Pulang Semua Pelarian Pemegang Dokumen IMM13 ke negara asal (Filipina)’.
Setakat petang Selasa, petisyen terbabit mendapat 38,683 tandatangan dalam lima hari.



