
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini tular mengenai usahawan dan Pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri yang memaklumkan dirinya membeli set kain kafan berharga RM999 bagi membuat persediaan menghadapi kematian.
Menerusi video yang dikongsikan oleh usahawan tudung ekslusif itu, dia menunjukkan telah membeli set kain kafan tersebut dari pereka fesyen terkenal iaitu Datuk Rizalman Ibrahim.
Perkara itu kemudiannya mendapat perhatian ramai memandangkan harga kain kafan tersebut terlalu mahal sehingga ada yang menggelarkannya ‘set kain kafan kalis api’ dan ‘kalis sebat’. Malah isu itu turut mendapat perhatian daripada para agamawan yang mengulas mengenai hukumnya.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Tak Nak Kain Biasa, Usahawan Wanita Beli Set Kain Kafan Premium Berharga RM999 [Video]
Ustaz Elyas jelaskan mengenai kain kafan mahal
Pendakwah bebas, Ustaz Elyas Ismail turut ada menjelaskan mengenai isu pembelian kain kafan yang mahal itu.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok, Ustaz Elyas menerangkan Nabi SAW bersabda:

“Jangan melampau dalam bab harga kain kafan kerana dia akan musnah dengan segera dan cepat rosak dan kegunaannya tidak lama. Dikebumikan dan kemudian kain itu (kafan) akan rosak.” (Riwayat Imam Abu Daud)
Duit beli kain kafan mahal adalah lebih baik digunakan untuk individu lain
Jelas Ustaz Elyas, di dalam Islam tidak mahukan pembaziran kerana duit yang digunakan untuk membeli kain kafan yang mahal tersebut adalah lebih baik digunakan untuk individu lain.
“Sebab itu kain kafan ini kata Imam Nawawi Rahimahullah, ianya bersih, menutup aurat dan ianya tidak melampau, tidak membazir dan tidak mahal. Kata Ibnu Qudamah Rahimahullah, sekiranya kain kafan itu mahal, ia bercanggah dengan sifat tawaduk menjelang kematian.
“Maka apa yang kita nak tunjuk kepada masyarakat sebenarnya. Imam Abu Hanifah sendiri ketika hayatnya juga menyediakan kain kafan menjelang kematian, namun kain kafan Abu Hanifah sediakan tu pun yang biasa. Bukan dari sutera dan bukan yang mahal,” jelasnya lagi.
@ustazelyasismail Macam2 ragam manusia di akhir zaman ini ya .. @DozeeHQ #fyp #ustazelyasismail #kainkafan @DATO SABUN
Dr Mohd Izhar jelaskan hukum membeli kain kafan mahal
Pendakwah bebas yang juga Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Mohd Izhar Ariff turut menjelaskan mengenai hukum membeli kain kafan mahal.
Kata beliau, mengingati mati merupakan sunnah Rasulullah SAW agar kita sentiasa menghindari maksiat dan tiada nas secara jelas melarang atau mengharamkan seseorang daripada membeli kain kafan yang mahal.
Namun perbuatan itu terbahagi kepada beberapa hukum mengikut situasi.
Harus hukumnya beli kain kafan mahal namun dirahsiakan daripada khalayak ramai
Menurutnya harus hukumnya untuk membeli set kain kafan yang mahal sejajar dengan kelayakannya. Namun perbuatan tersebut ‘dirahsiakan’ atau tidak diuar-uarkan kepada sesiapa kecuali warisnya.
Niat baik tersebut untuk memastikan segala ibadah sejajar dengan kehidupan realiti duniannya. Dalam pada masa yang sama pula, dia tidak lupa untuk bersedekah, membayar zakat, wakaf dan sebagainya terhadap tuntutan agama.
Hukum itu sama seperti jemaah pergi haji dengan pakej mewah RM250,000 seorang dan ia bertujuan untuk keselesaan jemaah yang berkemampuan dalam menunaikan ibadah.
Makruh jika uar-uarkan untuk tujuan promosi dan haram jika riak atau sombong dan hina kain kafan murah
Namun hukumnya adalah makruh namun tidak berdosa jika perkara tersebut dimaklumkan kepada orang ramai untuk tujuan promosi produk serta lain-lain tanpa mempunyai niat untuk takbur serta sombong kepada orang lain. Perbuatan berkenaan menyebabkan masyarakat Islam bertikam lidah.
Walau bagaimanapun, haram hukumnya membeli set kain kafan kemudian dimaklumkan kepada khalayak ramai untuk tujuan riak, sombong dan menghina kain kafan murah yang dimiliki adat atau uruf pada hari ini.
“Justeru, kita tidak boleh menghukum perbuatan seseorang itu khususnya melibatkan ‘niat’ kecuali ada perbuatan jelas yang menjurus seseorang itu kepada perbuatan haram sebagaimana dinyatakan di atas,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
View this post on Instagram
Mufti jelaskan beli kain kafan mahal atau berjenama bukan sesuatu yang digalakkan dalam Islam
Sementara itu Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan membelanjakan wang yang berlebihan untuk kain kafan yang mahal atau berjenama bukanlah sesuatu yang dianjurkan dalam Islam bahkan ia tidak menambah darjat seseorang itu di sisi Allah SWT serta memberikan kelebihan kepada individu terbabit apabila di alam barzakh.
Ujarnya, Islam menggalakkan agar harta berkenaan dimanfaatkan kepada perkara yang memberi faedah seperti sedekah, wakaf, termasuklah membantu golongan yang lebih memerlukan.
“Rasulullah SAW bersabda: Apabila anak Adam meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya (Riwayat Muslim).
“Janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan (Surah al-A’raf: 31),” jelasnya, lapor Harian Metro.

