Isu Kebakaran KK Mart, AMK Gesa Dr Akmal Saleh Bertanggungjawab

Politics
1 Apr 2024 • 3:46 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Nabil Halimi menggesa Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh untuk bertanggungjawab rentetan isu kebakaran cawangan KK Mart.

Merujuk kenyataan media di Facebook rasmi AMK Malaysia, mereka menyatakan keprihatinan yang mendalam terhadap isu kebakaran KK Mart yang disyaki berpunca daripada sabotaj pihak tertentu.

image is not available

Foto : IG Nabil Halimi

AMK turut menegaskan bahawa pemimpin politik seharusnya berperanan dalam meredakan ketegangan yang dihadapi masyarakat majmuk, bukan sebaliknya.

Jelasnya, mereka melihat bahawa Dr Akmal masih enggan mengakui kesan tindakannya yang terlalu berapi-api dan boleh dikatakan sebagai melampau terhadap isu ini.

“Agama Islam harus ditegakkan dengan hikmah dan bukannya dengan kemarahan yang berlebihan. Janganlah kerana sikap melampau kamu, negara ini binasa.

image is not available

Foto : IG Dr Akmal Saleh

“Sabda Nabi Muhammad SAW “Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama, karena binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap melampau mereka dalam beragama” (Riwayat Ibn Hibban),” katanya hari ini.

Oleh yang demikian, AMK mendesak Dr Akmal agar bertanggungjawab terhadap ketegangan yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat yang didakwa berpunca daripada seruannya untuk memboikot premis berkenaan.

Di samping menekankan bahawa pemimpin muda perlu menonjolkan idealisme yang bersatu, AMK juga menyeru masyarakat supaya mengekalkan ketenangan dan memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada PDRM berhubung isu ini.

Tambahnya lagi, perkara seperti ini sangat penting bagi memelihara keamanan dan keharmonian yang telah menjadi landasan serta kekuatan negara Malaysia yang berbilang bangsa selama ini.

Sumber : Facebook AMK Malaysia