Isu kelewatan LCS: PAC panggil menteri, pegawai kanan MINDEF beri keterangan

LocalPolitics
3 Oct 2023 • 2:35 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Isu kelewatan LCS: PAC panggil menteri, pegawai kanan MINDEF beri keterangan

zulfadli

03/10/2023 - 14:35

MELAKA 3 Okt - Pegawai kanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan beberapa bekas menteri serta menteri sedia ada, antara yang akan dipanggil Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada prosiding dijadual bermula hari ini untuk memberi keterangan berkait projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Prosiding terbaru itu untuk PAC mendengar perkembangan projek pembinaan aset pertahanan yang menelan kos besar berkenaan bagi tempoh tiga bulan, bermula Jun hingga Ogos lalu.

Antara yang akan dipanggil ialah Ketua Setiausaha MINDEF, Datuk Seri Isham Ishak yang baru dilantik ke jawatan itu pada 26 September lalu bagi menggantikan Datuk Seri Muez Abd Aziz yang bersara pada 31 Mei lalu.

Selain itu, kontraktor projek pembinaan kapal terbabit, iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) serta wakil pasukan petugas khas kapal LCS dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Mengesahkan perkara itu kepada BH, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin juga tidak menolak kemungkinan jawatankuasa diterajuinya turut memanggil beberapa bekas menteri atau menteri sedia ada, termasuk Menteri Kewangan.

Katanya, PAC perlu mendengar penjelasan dan keterangan, terutama berkaitan pemindahan pemilikan saham BNS kepada syarikat milikan Menteri Kewangan Diperbadankan, sekiranya wujud keperluan.

"Pembentangan ini penting bagi memastikan pembinaan LCS menepati garis masa baharu ditetapkan kerajaan supaya kapal dapat disiapkan dan diserahkan kepada TLDM," katanya yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah.

image is not available
Datuk Mas Ermieyati Samsudin

Beliau berkata, keputusan untuk memanggil saksi hadir di hadapan PAC dibuat secara konsensus oleh semua ahli jawatankuasa yang dianggotai ahli Parlimen kerajaan dan blok pembangkang itu, tertakluk kepada perkembangan semasa pembinaaan LCS.

Media pada Mei lalu melaporkan Kementerian Kewangan (MOF) menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan LCS, iaitu BNS sebagai anak syarikat kepada MoF.

Projek berkenaan sebelum ini terpalit kontroversi apabila PAC mendedahkan tiada seunit pun kapal tempur itu disiapkan walaupun kerajaan telah membelanjakan RM6.083 bilion kepada BNS.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 18 September lalu, menjelaskan aktiviti fizikal pembinaan LCS dimulakan minggu terakhir bulan lalu selepas terhenti kira-kira empat tahun dan dipastikan siap mengikut jadual berdasarkan kontrak tambahan keenam yang ditandatangani 26 Mei 2023.

"Selepas terhenti sejak akhir 2019, rancangan pembinaan LCS dimulakan kembali mulai 26 Mei 2023. Untuk fasa pertama, tumpuan adalah kepada pemindahan pemilikan saham Boustead Naval Shipyard kepada syarikat milikan Menteri Kewangan Diperbadankan.

"Ia juga membabitkan rundingan penyambungan tempoh kontrak BNS dengan pihak pengeluar peralatan tulen (OEM) dan vendor," kata Mohamad ketika sesi penggulungan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, bulan lalu.

Bentang laporan kemajuan

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata, mengikut jadual baharu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima kapal pertama LCS, iaitu KD Maharajalela pada 2026 di bawah projek berkenaan, yang hanya membabitkan pembinaan lima kapal berbanding enam mengikut perancangan awal, lapor Berita Harian.

"Kapal itu akan diserahkan secara berperingkat dengan kos lebih RM11 bilion berbanding kira-kira RM9.4 bilion dengan pembinaan enam kapal sebelum ini.

"PAC akan membentangkan laporan kemajuan pembinaan LCS bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 pada 11 Oktober ini pada Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat yang bermula pada 9 Oktober.

"Dalam laporan itu, rakyat akan tahu mengapa TLDM hanya dapat lima kapal berbanding enam sebelumnya dan mengenai kenaikan kos pembinaan daripada kira-kira RM9.4 bilion kepada lebih RM11 bilion," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mas Ermieyati berkata, PAC berpuas hati dengan penjelasan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pada prosiding keempat pengurusan pandemik COVID-19 pada 21 September lalu. - DagangNews.com