Isu kurang kelas sekolah agama selesai

11 Nov 2026 • 7:32 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Isu kurang kelas sekolah agama selesai

TANJUNG MALIM: Masalah kekurangan bilik darjah yang dihadapi Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Rahmatud Diniah, Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, dekat sini, bakal diselesaikan menerusi pembinaan bangunan tambahan yang kini dalam proses pembinaan.

Guru Besar sekolah, Ahmad Syairozi Muhamed berkata, pihak sekolah berterima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan dan tindakan segera menangani masalah berkenaan, khususnya selepas isu murid terpaksa menjawab soalan peperiksaan di bawah pokok dan di koridor tular di media sosial.

Menurutnya, pihak sekolah menerima peruntukan bagi pembinaan bangunan baharu yang memiliki empat bilik darjah yang bermula pada Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.

Beliau berkata, pembinaan bangunan tambahan itu bukan sahaja dapat mengatasi masalah kekurangan ruang pembelajaran, malah memberikan keselesaan kepada murid untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran.

“Pihak sekolah dan ibu bapa sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang memberikan perhatian terhadap masalah kekurangan kelas sehingga menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan murid.

“Masalah ini dapat diatasi dengan segera apabila kerajaan negeri meluluskan peruntukan bagi pembinaan bangunan tambahan yang akan dijadikan bilik darjah.

“Pembinaan kelas tambahan yang dijangka siap tidak lama lagi turut memberikan semangat baharu kepada guru, murid dan ibu bapa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ahmad Syairozi berkata, jumlah murid di sekolah berkenaan kini meningkat kepada 150 orang, sekali gus memerlukan kemudahan bilik darjah yang lebih mencukupi bagi menampung pertambahan tersebut.

Katanya, jumlah guru juga bertambah daripada empat kepada lima orang ketika ini.

Menurutnya, sebelum ini, kekurangan bilik darjah menyebabkan murid terpaksa berhimpit-himpit ketika menduduki peperiksaan, malah ada antara mereka terpaksa menjawab soalan di luar kelas.

“Keadaan itu tentunya kurang selesa kepada murid, terutama ketika peperiksaan,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan masalah kekurangan bilik darjah di SRAR Rahmatud Diniah mendapat perhatian selepas gambar murid menduduki peperiksaan di luar bilik darjah tular di media sosial. – UTUSAN

The post Isu kurang kelas sekolah agama selesai appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved