
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah menentang penternakan babi, namun aktiviti itu tidak wajar diteruskan jika menimbulkan kegelisahan penduduk setempat.
Beliau berkata dasar kerajaan jelas: tidak melarang ternakan babi atau amalan pemakanan orang bukan Islam, tetapi lokasi ladang mesti mengambil kira sensitiviti masyarakat.
"Begitu juga mengenai ternakan babi. Saya setuju dengan pandangan tidak harus diteruskan di kawasan yang menimbulkan kegelisahan penduduk tempatan. Kalau mahu, cari pilihan tempat yang jauh, boleh teruskan. Kita dari segi dasar tidak menentang ternakan babi atau tidak melarang orang bukan Islam makan babi," katanya.
Anwar menegaskan isu ini tidak seharusnya dijadikan sentimen perkauman atau agama, sebaliknya dilihat dari sudut kesihatan awam, alam sekitar dan keselesaan penduduk.
"Ternakan babi bukan soal Cina atau Melayu. Kalau orang bukan Islam mahu makan, itu hak mereka dan tidak wajar dihalang. Tetapi kalau di kawasan penduduk yang majoritinya tidak makan babi, termasuk orang Islam, itu tidak kita galakkan," katanya.
Beliau menambah bantahan terhadap ladang babi di kawasan perumahan berasaskan isu sebenar, bukan prejudis kaum.
"Jadi cari tempat yang ada konsensus. Kalau di Kuala Lumpur tak ada, tak adalah. Kalau di Selangor susah, sukarlah. Janganlah cari masalah," katanya.
Anwar turut mengingatkan bahawa teknologi moden sekalipun tidak menjadikan ladang babi sesuai ditempatkan di kawasan berpenduduk.
"Jawapan saya, jangan. Cari tempat yang tidak menimbulkan kontroversi, yang ada konsensus. Saya (pun) tidak setuju kalau di sekitar rumah saya dekat Sungai Long ada ternakan babi. Bukan sebab saya anti orang Cina makan babi, sebab saya tak tahan baunya," katanya.
Beliau menegaskan kerajaan tidak akan memaksa komuniti menerima penternakan yang berpotensi menjejaskan kesihatan dan persekitaran.
"Kita kena dengar dulu, bincang dari segi kesihatan, alam sekitar dan kesan bau. Kalau ditolak tanpa dengar, nanti dikata kita anti-Cina atau antibabi. Itu tidak benar," katanya.
Anwar menutup dengan penegasan bahawa pendekatan kerajaan adalah berasaskan rundingan dan saling menghormati hak semua pihak, demi keharmonian masyarakat. - 9 Februari, 2026
The post Isu ladang babi: ‘Saya pun tidak setuju sebab tak tahan baunya’, kata PM appeared first on Scoop.

