Isu lafaz baiah politik: Kerajaan rujuk mufti untuk penjelasan -Menteri Agama

LocalPolitics
3 Jan 2026 • 3:08 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kerajaan akan memberikan penjelasan berhubung isu lafaz baiah yang didakwa diamalkan dalam kalangan parti politik tertentu di negara ini bagi mengelakkan kekeliruan masyarakat.

Akan dapatkan pencerahan daripada mufti isu lafaz baiah politik

Memetik laporan daripada Sinar Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada Jabatan Mufti sebagai pihak berautoriti dalam isu berkenaan.

“Isu baiah politik, kita akan mengadakan pencerahan dan penjelasan daripada pihak berautoriti.
“Kita juga sudah memohon pandangan daripada Jabatan Mufti. Kita ingin memberikan pandangan sebaiknya berdasarkan sumber yang sahih kepada masyarakat,” katanya.

image is not available

Isu lafaz baiah politik dibangkitkan Mufti Perlis

Terdahulu, beliau merasmikan Sesi Penyerahan Sinar Lestari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Aman, Kandis.

Isu berkenaan timbul susulan laporan media yang memetik kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengenai dakwaan wujudnya lafaz baiah dan sumpah dalam sebuah parti politik yang kononnya melibatkan tuntutan menceraikan isteri jika berlaku pelanggaran.

image is not available

PAS kongsi teks lafaz baiah

Walau bagaimanapun, Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman menafikan dakwaan tersebut dan memuat naik teks lafaz baiah serta sumpah itu di akaun Facebook miliknya.

Menurut Mohd Syahir, tiada sebarang pernyataan dalam teks berkenaan yang menuntut mana-mana Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas supaya menceraikan isteri sekiranya melompat parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok turut mencabar Mohd Asri menunjukkan bahagian yang dianggap ‘memalukan’ dalam lafaz baiah dan sumpah terbabit.

Sumber: Sinar Harian (Hazelen Liana Kamarudin)