

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Laporan polis dibuat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Abd Latiff Ahmad susulan namanya didakwa terlibat dengan isu skandal kapal tempur pesisir (LCS) dalam laporan forensik dalaman Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC).
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menerusi akaun Twitternya pada pagi Isnin.
"Pagi ini Pengarah Strategik PKR, Akmal Nasir (Akmal Nasrullah Mohd Nasir) akan membuat laporan polis supaya Abd Latiff disiasat setelah laporan forensik LCS menamakannya.
**media[1891380]**
"Laporan oleh veteran tentera dan anggota Keadilan seluruh negara akan menyusul,” ciap Rafizi di Twitternya pada Isnin.
Laporan polis tersebut dijadualkan dibuat pada jam 11 pagi Isnin di Balai Polis Dang Wangi.
Rafizi sebelum ini mendedahkan mendakwa bahawa Abd Latiff dinamakan sebagai suami kepada Zainab Mohd Salleh yang didakwa menyeleweng dana RM9 bilion untuk projek LCS.
Hal tersebut dimaklumkan menerusi hasil audit forensik yang dilakukan BHIC terhadap penghantaran lewat LCS yang bernilai RM9 bilion serta penglibatan Ahli Parlimen Mersing itu sebagai pengarah syarikat berkenaan.
Selain itu, audit forensik tersebut menyenaraikan pegangan saham Zainab dalam empat syarikat termasuk yang berdaftar di Malta dan Labuan.
Rafizi dalam pendedahan terbaharunya mendakwa, dua syarikat palsu yang terlibat dalam skandal penyelewengan projek LCS dimiliki oleh isteri kepada salah seorang menteri kabinet ketika ini.
Beliau berkata, kewujudan kedua-dua syarikat berstatus syarikat pesisir luar pantai (offshore) menggunakan nama Alizes Marine tetapi didaftarkan di dua negara berbeza itu terbongkar melalui siasatan dalaman LCS dan semakan lanjut yang dilakukannya.
Rafizi juga mencabar supaya saman dikemukakan kepadanya serta-merta terhadap dirinya jika semua dakwaan yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Mersing dan isterinya dalam penyelewengan projek kapal tersebut tidak benar susulan penafian dari beliau tentang hal ini.
Bagaimanapun, Abd Latiff menafikan bahawa individu bernama Zainab Mohd Salleh yang didakwa terlibat dalam skandal projek LCS merupakan isterinya.

