Isu MA63: Anwar beri jaminan selesaikan secepat mungkin

Politics
14 May 2023 • 6:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar - Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada pimpinan kerajaan Sabah dan Sarawak bahawa isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) akan diselesaikan secepat mungkin.

Jelas Anwar, isu tersebut telah bermula semenjak puluhan tahun lagi dan beliau tidak mahu ia terus berlarutan.

“Dengan ini saya beri mandat penuh kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk selesaikan sedaya upaya apa sahaja perjanjian yang telah dimeterai di dalamnya dan lakasanakan.

“Ada yang pihak memperolok kerana kononnya kerajaan mahukan jaminan sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Saya jawab, itu memang ada, akan tetapi yang lebih penting adalah kerana ia merupakan tanggungjawab pimpinan generasi kini adalah untuk melaksanakan sumpah setia dan janji bapa kemerdekaan kita,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana semasa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam ucapan tersebut, beliau turut menyentuh mengenai usaha penyelesaian berhubung isu bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak.

Anwar berkata, sekiranya memerlukan peruntukan berbilion ringgit, kerajaan akan sedaya upaya menyelesaikannya pada tahun ini.

“Ini bukan sebab nak pilihan raya ke apa, akan tetapi ia merupakan perkara penting buat rakyat, 60 tahun lebih usia kemederkaan negara ini, mereka tidak boleh dihinakan dengan masalah untuk mendapatkan bekalan air yang bersih.

“Inilah ertinya Kerajaan Perpaduan, janji diterjemahkan. Bila? Inilah masanya,” jelas beliau.