Isu Minyak Sarawak Dan Kerajaan Persekutuan Masih Dalam Pertikaian Berkait Undang-Undang

21 Nov 2024 • 3:29 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Pertikaian Pemilikan Sumber Petroleum Masih Berterusan

Isu Minyak Sarawak Dan Kerajaan Persekutuan Masih Dalam Pertikaian Berkait Undang-Undang. Pertikaian berkenaan pemilikan dan pengurusan sumber minyak dan gas (O&G) di perairan Sarawak terus menjadi isu yang hangat. Kerajaan Persekutuan menegaskan bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) memberi hak milik penuh dan eksklusif kepada Petronas terhadap semua sumber petroleum di Malaysia, sama ada di darat atau di laut.

Namun, Sarawak mempertahankan haknya berdasarkan Ordinan Minyak dan Perlombongan 1958 (OMO) yang wujud sebelum pembentukan Malaysia. Sarawak mendakwa bahawa sempadan maritimnya, termasuk pelantar benua, telah ditetapkan sejak 1954 dan tidak berubah walaupun selepas menyertai Malaysia pada tahun 1963.

image is not available

Lubuk Minyak Negara Yang Jadi Rebutan

Dipetik dari media tempatan, Sarawak juga tidak berpuas hati dengan royalti minyak sebanyak 5% yang diperuntukkan di bawah PDA. Justeru, negeri itu menuntut bahagian pendapatan yang lebih besar, dengan alasan bahawa ia mempunyai hak pemilikan eksklusif terhadap sumber O&G di luar pantainya.

Bekas pengerusi pertama PETRONAS, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, menyatakan bahawa hak Sarawak terhadap sumber tersebut tidak melebihi PETRONAS. Beliau menegaskan bahawa isu pemilikan minyak ini tidak dibincangkan semasa Perjanjian Malaysia 1963 dimeterai.

Pandangan ini turut disokong oleh peguam maritim, Liew Teck Huat, yang berpendapat bahawa tafsiran Sarawak mengenai pelantar benua berdasarkan Perintah 1954 adalah bermasalah. Menurut beliau, definisi pelantar benua seperti yang difahami hari ini hanya diperkenalkan menerusi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) pada tahun 1982, yang diratifikasi Malaysia pada tahun 1986.

UNCLOS kemudiannya dimasukkan ke dalam undang-undang Malaysia melalui Akta Laut Wilayah 2012, yang memperkukuh hak Persekutuan terhadap pelantar benua. Liew menegaskan bahawa PDA dan Akta Laut Wilayah 2012 adalah sah dan terpakai selagi tidak dibatalkan oleh mahkamah.

Kawasan sekitar Shoal Luconia di Laut China Selatan, yang dipertikaikan ini, merupakan kawasan strategik. Ia dipercayai mengandungi 60% daripada rizab O&G negara dan menyumbang sebahagian besar gas asli cecair (LNG) Malaysia, memenuhi 90% permintaan eksport LNG PETRONAS.

Liew mencadangkan bahawa sebarang tuntutan ke atas undang-undang perlu dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan keputusan muktamad. Selagi mahkamah tidak membuat keputusan, undang-undang persekutuan seperti PDA dan Akta Laut Wilayah 2012 akan terus menjadi asas kepada pengurusan sumber O&G negara.

Baca juga artikel berkaitan di bawah: