Isu Nadir Bumi: Pegawai Kanan MBI Direman 3 Hari

19 Jul 2023 • 6:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ketua Pegawai Eksekutif MBI ini ditahan di Alor Setar lewat petang semalam - gambar SPRM

KUALA LUMPUR - Seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) berstatus Ketua Pegawai Eksekutif ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Sumber SPRM memberitahu, turut berdepan tindakan sama ialah seorang wanita berjawatan Pengarah Syarikat.

Menurut beliau, kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor perlombongan melibatkan jumlah melebihi RM13 juta.

“Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 21 Julai 2023 terhadap mereka masing-masing dikeluarkan oleh Majistret Wan Shahida Abd Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar dan Majistret Norsyakirah Che Hashim di Mahkamah Majistret Shah Alam selepas permohonan reman dibuat SPRM,” katanya kepada Getaran di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kedua-dua suspek yang berusia 63 dan 40 tahun itu ditahan sekitar lewat petang Selasa di Alor Setar dan Kuala Lumpur.

Tambahnya, aktiviti perlombongan yang dijalankan secara haram oleh syarikat terlibat mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu sejak tahun 2020.

“Siasatan yang dijalankan mengesan beberapa pembayaran disyaki melibatkan rasuah berjumlah lebih RM13 juta, diberikan syarikat terlibat sebagai sogokan bagi melindungi kegiatan perlombongan haram ini antara 2020 hingga 2023.

“Syarikat milik wanita yang ditahan reman itu dipercayai telah mendapat kelulusan untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan pokok getah klon balak (TLC) di dua kompartmen di Kedah sejak tahun 2016 lagi,” katanya.

Dedah sumber, projek tersebut bertujuan untuk menanam semula pokok-pokok getah klon balak di kawasan pembalakan terlibat.

image is not available
Suspek wanita berjawatan Pengarah Syarikat dibawa keluar sebaik permohonan reman ke atasnya diluluskan mahkamah - gambar SPRM

“Pada tahun 2020, syarikat yang sama telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri Kedah bagi menjalankan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam kompartmen yang sama.

“Namun setakat ini tiada kelulusan diberikan oleh kerajaan negeri berhubung permohonan syarikat tersebut bagi menjalankan aktiviti perlombongan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009. - Getaran, 19 Julai 2023