Isu Nicky Liow: Wong Chen gesa siasatan dalaman, tindakan disiplin

LocalPolitics
27 Jul 2026 • 2:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu Nicky Liow: Wong Chen gesa siasatan dalaman, tindakan disiplin
Foto tular memaparkan individu dipercayai Nicky (kanan) bergambar bersama Anwar dengan memakai baju AMK. Gambar kecil: Wong Chen.

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Subang, Wong Chen menggesa Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh berhubung dakwaan penglibatan ahli perniagaan dalam buruan, Nicky Liow bersama Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Beliau berkata, siasatan itu perlu dipimpin oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, selain tindakan disiplin diambil sekiranya terdapat mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan parti.

"Bagus untuk diketahui. Jadi siapa yang memberikan Nicky Liow baju rasmi AMK untuk dipakai, siapa yang menjemputnya ke mesyuarat itu dan bagaimana dia boleh berada begitu dekat dengan Perdana Menteri sehingga dapat bergambar dalam sesi fotografi yang diatur?

"Fuziah mesti menjalankan siasatan dalaman secara menyeluruh dan mengambil tindakan disiplin," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Terdahulu, tular satu hantaran melalui media sosial memaparkan gambar Nicky memakai baju AMK, sekali gus mencetuskan dakwaan kononnya ahli perniagaan itu merupakan ahli parti berkenaan.

Susulan itu, Fuziah mengesahkan nama individu itu tiada dalam rekod keanggotaan parti selepas semakan rasmi dijalankan menerusi Sistem Keanggotaan KEADILAN.

Sebelum ini, Nicky didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas disyaki terlibat dengan sindiket jenayah terancang 'Geng Nicky' dan pengubahan wang haram.

Sementara itu dalam hantaran sama, Wong Chen turut membangkitkan laporan media yang mendakwa Nicky pernah diberikan 'dilepas tanpa dibebaskan' (DNAA).

Bagaimanapun beliau berkata, carian maklumat yang dibuat tidak memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

"Menariknya, media turut melaporkan bahawa Nicky Liow telah diberikan DNAA, namun, carian di Google tidak memberikan jawapan jelas.

"Bilakah perkara itu berlaku, siapakah Peguam Negara ketika itu dan mengapakah Nicky Liow diberikan DNAA?" soalnya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved