Isu pemansuhan subsidi minyak masak paket masih dibincangkan – Rafizi

LocalPolitics
17 Nov 2024 • 9:57 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Kementerian Ekonomi mengesahkan isu pemansuhan subsidi minyak masak paket telah beberapa kali dibincangkan dalam usaha menangani masalah ketirisan yang semakin meruncing.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata meskipun terdapat risiko dalam pelaksanaan pemansuhan subsidi, kerajaan kini membelanjakan puluhan juta ringgit setiap bulan untuk menampung subsidi tersebut.

“Situasi serupa akan berlaku sama ada minyak masak subsidi ini susah nak ditemui atau berada di seberang Thailand,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, isu ini berada di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dan kementerian tersebut sedang membuat kajian terperinci tentang cara terbaik untuk mengatasi ketirisan.

“Keputusan akan dibuat selepas KPDN membentangkan cadangan mereka kepada jemaah menteri. Saya sendiri berharap ada kaedah yang lebih baik untuk memastikan subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” jelasnya.

Sebelum ini, terdapat saranan agar subsidi minyak masak paket dimansuhkan dan digantikan dengan bantuan kewangan terus kepada golongan sasar. Langkah ini dicadangkan bagi mengelakkan ketirisan dan penyelewengan subsidi.

Menurut laporan, daripada 60,000 tan metrik atau bersamaan 60 juta paket minyak masak bersubsidi satu kilogram yang diagihkan ke pasaran setiap bulan, 60 peratus digunakan oleh peniaga kecil.

Penasihat Undang-Undang Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia, Sukhdave Singh, turut menyatakan bahawa pemansuhan subsidi adalah wajar kerana ketirisan terus berlaku dengan pelbagai cara yang sukar dikawal.

Sumber: Harian Metro