
ALOR SETAR: Isu tempat tinggal pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) membabitkan lebih 17,000 pelajar di Inapan Siswa (INASIS) telah selesai iaitu sebelum kuliah bermula pada minggu ini.
Naib Canselor UUM Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata urusan penginapan pelajar lama iaitu semester kedua dan berikutnya dibuat sebaik sahaja pelajar baharu Semester Pertama Sesi 2022/2023 berjumlah 4,106 orang selesai mendaftar masuk di INASIS yang ditetapkan pada 11 Okt lepas.
“Dengan memberi penempatan kepada kesemua pelajar termasuk pelajar yang kini berada di semester kelapan dan berikutnya atau dengan kata lain lebih dari empat tahun dari tempoh biasa pengajian, jelas menunjukkan UUM amat prihatin dan cakna dengan kebajikan dan keselamatan pelajar universiti ini.
“Pengurusan universiti sentiasa memastikan keperluan pelajar dapat dipenuhi dan mereka dapat belajar dalam suasana yang kondusif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata UUM juga telah menyediakan penempatan kepada 500 pelajar rayuan yang akan mula mendaftar pada 1 Nov depan.
Katanya secara keseluruhannya kesemua pelajar yang memohon penginapan iaitu seramai 17,708 orang telah memperoleh tempat penginapan di UUM.
UUM mempunyai 15 kolej kediaman yang dikenali INASIS selain turut menyediakan kemudahan penginapan tambahan di kawasan Perumahan Sisiran Naib Canselor UUM, Perumahan Sisiran Sintok UUM, Perumahan Taman Universiti UUM dan rumah-rumah universiti yang ada di dalam kampus UUM kepada pelajar.
Sebelum ini, tular dakwaan bahawa terdapat kira-kira 1,000 pelajar UUM tidak mendapat penginapan bagi memulakan sesi pengajian mereka.-Bernama

