Isu Penggunaan Label Muslim Choice: Hati-Hati Guna Istilah Agama, Kata Mufti Pulau Pinang

LocalPolitics
4 Nov 2025 • 10:13 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Semalam (3 November), hangat di media sosial kenyataan tegas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai penggunaan istilah ‘Muslim Choice’.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, istilah yang digunakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) dilihat boleh mengelirukan pengguna mengenai status halal produk atau premis makanan.

Malah, JAKIM turut mendedahkan pihaknya telahpun mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos 2024 berhubung isu terbabit dan memohon agar aktiviti tersebut dihentikan.

Namun, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) masih mendapat aduan mengenai isu berkenaan walaupun amaran telah diberikan.

Baca Artikel Berkaitan: Label ‘Muslim Choice’ Di Produk Atau Premis Tak Sah, Jejaskan Integriti Pensijilan Halal Malaysia – JAKIM

Hati-Hati Guna Istilah Agama, Muslim Choice Tak Boleh Dianggap Tanda Halal – Mufti Pulau Pinang

Terbaharu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman tampil mengulas isu yang sedang hangat diperkatakan ini.

Jelas beliau, label Muslim Choice tidak boleh dianggap sebagai tanda halal dari sudut syarak.

Ini kerana ia berpotensi untuk menimbulkan kekeliruan serta tergolong dalam perkara syubhah.

Malah beliau menjelaskan, masyarakat awam mudah menyangka produk yang menggunakan label tersebut disahkan halal oleh pihak berkuasa.

“Dari sudut undang-undang Malaysia ia melanggar Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana hanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri yang berhak mengeluarkan pengesahan halal.

“Dari sudut etika dakwah pula, Muslim diseru berhati-hati dalam menggunakan istilah agama untuk tujuan perniagaan dan tidak memanfaatkan kepercayaan masyarakat terhadap halal tanpa sandaran sah,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Penggunaan Muslim Choice Boleh Termasuk Dalam Kategori Syubhah

Tegas beliau lagi, penggunaan logo itu tidak wajar digunakan kerana boleh disalah tafsir sebagai pengesahan halal rasmi.

“Ia membuka pintu kepada eksploitasi nama Islam dalam urusan perdagangan.

“Mana-mana pihak yang menggunakan istilah, lambang atau label yang menyerupai sangkaan halal tanpa pengesahan Jakim adalah menyalahi peraturan dan boleh mengelirukan dari sudut syarak,” jelasnya.

Malah, dari sudut fiqh pula, penggunaan label Muslim Choice termasuk dalam kategori syubhah.

Ini kerana jelas beliau masyarakat tidak pasti sama ada produk tersebut benar-benar halal atau hanya sekadar pilihan Muslim tanpa pengesahan rasmi.

“Walaupun niat memperkenalkan label mungkin baik untuk menggalakkan sokongan terhadap produk Muslim, namun kaedah itu tetap boleh menimbulkan kekeliruan hukum agama,” terangnya.

Sebelum ini, MFW telah memperkenalkan pengiktirafan Muslim Choice yang diberikan kepada produk atau premis makanan yang didakwa menepati syarat dan piawaian contohnya seperti tahap kualiti serta kebersihan premis.

MFW Mohon Maaf Isu Muslim Choice

Dalam pada itu, MFW memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam mengenai kekeliruan yang timbul melibatkan sistem dalaman organisasi yang dikenali sebagai Muslim Choice.

Menurut Presiden MFW, Noorman Kamsani, Muslim Choice bukan badan pensijilan halal atau label pengiktirafan sebaliknya ia adalah sistem dalaman untuk menyimpan serta mengurus data ahli korporat dan ahli MFW.

“Logo dan nama sistem tersebut hanyalah identiti dalaman dan tidak pernah diberikan kebenaran untuk digunakan oleh mana-mana ahli, syarikat atau produk.

“Kami kesal atas kekeliruan yang berlaku dan memohon maaf atas sebarang kegusaran yang timbul,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

MFW Hentikan Penggunaan Sistem Muslim Choice Serta Merta

Malah, Noorman menjelaskan pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan menghentikan penggunaan sistem tersebut secara serta-merta.

Selain itu, pihaknya juga akan menilai semula tatakelola organisasi bagi memastikan ia mengikut undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan JAKIM.

Terang beliau, MFW juga bercadang untuk mengadakan kunjungan hormat ke JAKIM bagi mendapatkan khidmat nasihat dengan lebih terperinci.

Mohon Orang Ramai Hentikan Spekulasi, Akan Buat Laporan Polis Berhubung Kenyataan Palsu

Pada masa yang sama, Noorman memohon agar orang ramai menghentikan spekulasi berhubung isu terbabit.

Dia turut menegaskan tujuh Ahli Jawatankuasa MFW yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) merupakan individu yang beragama Islam.

Jelasnya lagi, MFW akan membuat laporan polis terhadap kenyataan palsu yang tersebar di media sosial bagi melindungi integriti dan maruah organisasi.

MFW Bantu Usahawan Bukan Islam Fahami Piawaian Halal JAKIM

Tegas Noorman, MFW berpegang kepada visi dan misi bagi membantu golongan bukan Islam memahami serta mematuhi piawaian halal yang ditetapkan oleh JAKIM.

Sehingga kini, pihaknya berjaya membantu seorang usahawan bukan Islam dalam memperoleh sijil halal rasmi daripada JAKIM.

Ia susulan hasil daripada bimbingan dan program latihan yang dijalankan bersama agensi dan eksekutif halal.

“Kami berharap penjelasan itu dapat memberi pencerahan kepada semua pihak. Perjuangan kami sentiasa berpaksikan kejujuran, ilmu dan amanah demi memperkukuh agenda halal Malaysia,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan: Umat Islam Perlu Lebih Peka & Cakna Tentang Status Halal Restoran, Kata Pakar

Baca Artikel Berkaitan: ‘No Pork No Alchohol’ Tidak Bermakna Ianya Halal – Menteri Agama

Baca Artikel Berkaitan: Ramai Masih Keliru, Ini Perkara Yang Perlu Diketahui Tentang Sijil Halal