Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) nasihat semua pihak supaya menjaga sensitiviti keagamaan dalam setiap tindakan dan pertuturan terutama ketika memuat naik kandungan di media sosial.
Ketua Pengarahnya, atuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata ia bagi mengelak daripada membuat sebarang kenyataan atau perlakuan yang boleh menyinggung kepercayaan agama lain serta menghormati kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“JAKIM ingin menegaskan, setiap agama perlu dihormati dan tidak boleh dijadikan bahan ejekan atau persendaan dalam apa jua bentuk, sama ada secara lisan, tulisan, perbuatan mahupun di platform media sosial.
“Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, Malaysia MADANI menekankan nilai hormat-menghormati, toleransi serta kesejahteraan bersama.
“Sikap memperlekeh atau mempersendakan amalan keagamaan pihak lain bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah boleh mencetuskan ketegangan dan merosakkan keharmonian masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JAKIM Nasihat Semua Pihak Jaga Sensitiviti
Sehubungan itu, Sirajuddin menasihati semua pihak sentiasa mengamalkan sikap saling memahami dan bertoleransi.
Katanya lagi, prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua harus dijadikan panduan bagi memastikan keamanan dan perpaduan terus terpelihara di negara ini.
“Firman Allah dalam Surah Al-An’am, ayat 108 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.
“Demikianlah Kami memperelokkan pada pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan,” katanya.

Sebelum itu, tiga penyampai radio tersebut iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin tampil membuat permohonan maaf kepada semua pihak selepas tular video mereka bertiga yang mengundang sensitiviti terutama kaum India.

Ketiga-tiga penyampai radio berkenaan mengakui kesilapan dan telah direhatkan daripada siaran sementara siasatan dijalankan. Astro juga berjanji akan lebih peka, hormat, ikut garis panduan serta belajar dan perbaiki kesilapan.
Sumber: FB
The post Isu Penyampai Radio Persenda Agama: JAKIM Nasihat Semua Pihak Jaga Sensitiviti appeared first on Borak Daily.


