
GEORGE TOWN, 15 DIS: Kementerian Kewangan akan menyelesaikan isu permohonan bantuan kredit eMadani yang ditolak, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.
“Saya cuba dapatkan lebih banyak maklumat dan akan cuba tengok dan selesaikannya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra dan mengedarkan kalendar 2024 di Pasar Chowrasta di sini hari ini.
Lim berkata ramai individu sudah mendapat bantuan kredit eMadani sebanyak RM100 sejak dilancarkan minggu lalu, namun terdapat juga permohonan ditolak walaupun individu berkenaan layak, justeru kerajaan akan melihat perkara itu dengan serius.
Mengulas mengenai pertikaian dalam media sosial susulan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Kewangan selepas rombakan Kabinet Selasa lepas, Lim yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata perkara itu tidak melemahkan semangatnya untuk berkhidmat kerana rakyat juga bebas bersuara.
“Saya terima dengan hati terbuka apa sahaja komen kerana saya bukan sempurna … setiap orang ada kelemahan, kekurangan dan kelebihan.
“Saya hanya boleh berjanji akan bekerja sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik buat rakyat Malaysia dan Pulau Pinang,” katanya yang menerima ucapan tahniah daripada Ketua Menteri Chow Kon Yeow sebaik sahaja pengumuman itu dibuat.
Lim sebelum ini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.
– BERNAMA
The post Isu permohonan bantuan kredit eMadani ditolak akan diselesaikan appeared first on Selangorkini.

