
KUALA LUMPUR - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan menyerahkan surat tuntutan kepada agensi berita Bloomberg, berhubung laporan pemilikan saham
Beliau berkata, surat berkenaan akan diserahkan esok menerusi peguamnya sama ada melalui biro agensi itu di Malaysia atau di Amerika Syarikat (AS).
“Esok peguam saya akan menghantar surat tuntutan tersebut, saya benar-benar serius tentang perkara ini. Mari kita berdepan dengan mahkamah,’’ katanya lapor Sinar Harian.
Azam berkata demikian pada sidang media khas di ibu pejabat SPRM hari ini.
Beliau juga menegaskan telah melupuskan semua sahamnya dan kini tidak mempunyai sebarang pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.
Beliau berkata semua urus niaga sahamnya sebelum ini dijalankan secara telus dan mematuhi sepenuhnya peraturan kerajaan
“Saya kini tidak mempunyai seunit pun saham, akaun dagangan saya kosong, sesiapa sahaja boleh semak dengan Bursa Malaysia,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan berkenaan pendedahan Bloomberg yang mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Menurut laporan itu, pemilikan saham berkenaan yang dianggarkan bernilai RM800,000 adalah berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Azam bagaimanapun berkata perkara itu tidak disembunyikan dan sudah diisytiharkan sepenuhnya.
Beliau juga memberitahu saham berkenaan dibeli tahun lalu dan dilupuskan dalam tempoh tahun yang sama.
Dalam pada itu, Azam menegaskan pihaknya telah membalas soalan dari Bloomberg pada 14 Januari lalu.
Azam juga menafikan dakwaan bahawa beliau masih memiliki saham dalam syarikat lain, termasuk laporan terkini berhubung saham Awanbiru Technology.
“Saya tidak mempunyai sebarang saham lagi, akaun saham saya kosong. Jika saya berbohong, boleh lapor kepada polis. Saya tidak mempunyai seunit pun saham,” katanya.
Beliau berkata semua urus niaga saham itu dibiayai sepenuhnya melalui simpanan peribadi, pencen serta imbuhan persaraan, dan bukan melalui pinjaman atau sumber lain.
Azam menjelaskan bahawa pengisytiharan aset oleh pegawai kanan kerajaan tertakluk kepada prosedur pentadbiran dalaman dan tidak perlu didedahkan kepada umum.
“Tiada undang-undang yang memerlukan saya mengisytiharkan kepada orang awam,” katanya. - 11 Februari, 2026
The post Isu saham: Azam Baki hantar surat tuntutan pada Bloomberg appeared first on Scoop.
