
Isu Siaran AFF Mitsubishi Electric 2024: Ini Penjelasan Ketua Pengarah RTM
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Datuk Suhaimi Sulaiman tampil memberikan maklum balas berhubung hak siaran Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 yang bakal bermula awal bulan Disember depan.
Menurutnya, demi merealisasikan impian pecinta bola sepak tanah air, RTM telah berunding dengan pemegang hak siaran AFF beberapa kali.
Bagaimanapun, pihak tersebut mengenakan syarat baharu, di mana jika RTM mahu menyiarkan siaran langsung AFF Mitsubishi Electric, RTM perlu membeli pakej yang mengandungi 4 sukan lain yang tidak diperlukan.
“Kini, pemegang hak siaran AFF mengenakan syarat baharu, jika RTM mahu siarkan AFF Asean, RTM mesti membeli pakej yang mengandungi 4 sukan lain yang tidak diperlukan oleh RTM.
“Harga yang ditawarkan oleh pemegang hak melebihi 13 juta ringgit. RTM telah berunding berkali-kali.
“Mereka menurunkan sedikit harga tapi masih jutaan ringgit juga dan syaratnya, RTM mesti membeli semua acara sukan dan tidak secara ala-carte,” kongsinya di platform X (Twitter).
Bagaimanapun, Suhaimi berkata RTM tidak boleh sewenang-wenangnya membuat perbelanjaan kerana ia melibatkan wang rakyat.
“Kita hendaklah berhemah dalam berbelanja. Rakyat masih boleh menonton AFF, tetapi di Astro.
“Kami cuba sedaya upaya untuk membawakan pelbagai acara sukan kepada penonton secara percuma tetapi kami tak sanggup membayar harga yang teramat tinggi dan ini semua adalah wang rakyat,” katanya lagi dalam hantaran tersebut.
https://x.com/suhaimisulaiman/status/1861947806145241481
Pada 8 Disember ini, Harimau Malaya dijadualkan turun menentang Kemboja sebelum menentang Timor-Leste pada 11 Disember dalam Kumpulan A.
Sumber: X @suhaimisulaiman
The post Isu Siaran AFF Mitsubishi Electric 2024: Ini Penjelasan Ketua Pengarah RTM appeared first on Siakap Keli.



