Isu Sijil Halal: Guan Eng Tegaskan Teresa Kok Tak Sentuh Isu 3R

LocalPolitics
10 Sep 2024 • 3:11 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menegaskan kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen (MP) Seputeh Teresa Kok berkenaan pensijilan halal sama sekali tak sentuh isu raja, agama dan kaum (3R).

Memetik laporan Astro Awani, Guan Eng yang juga merupakan MP Bagan itu berkata Teresa hanya menjalankan tugasnya sebagai MP dan tidak melakukan kesalahan.

Guan Eng tegaskan Teresa Kok tak sentuh isu 3R

image is not available

Foto: Free Malaysia Today

“Ini bukanlah perkara 3R seperti yang dituduh pihak tertentu kerana orang ramai dari semua lapisan rakyat termasuk golongan Islam pun menyatakan pandangan mereka.

“Jadi kami serah kepada polis untuk menjalankan siasatan dan berharap semua pihak dapat menangani isu ini dengan tenang dan profesional,” katanya pada sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Selasa.

Justeru itu, Guan Eng berkata DAP akan terus ‘berdiri bersama’ Teresa yang juga merupakan Naib Presiden DAP itu, serta menyediakan bantuan guaman kepadanya untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya.

Sebelum ini, Teresa tiba di Bukit Aman sekitar pukul 9.42 pagi ditemani peguamnya, yang juga merupakan MP Bangi, Syahredzan.

Teresa memberi keterangan selama kira-kira 90 minit di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman, Kuala Lumpur.

image is not available

Foto: Utusan

Terdahulu, Teresa mengeluarkan kenyataan, mendakwa pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan dan bukan dilaksanakan secara paksa.

Kenyataan ini susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Beliau dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Kenyataan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Sumber: Astro Awani (Umavathi Ramayah)