
JAKARTA: Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, berhasrat untuk meletakkan jawatan ketika berdepan pertikaian undang-undang berhubung kesahihan dokumen pendidikannya yang digunakan bagi memenuhi syarat pencalonan pada Pilihan Raya 2024.
Setiausaha Negara, Prasetyo Hadi, berkata Gibran turut meminta peluang untuk membuktikan kesahihan dokumen berkenaan di mahkamah, termasuk dakwaan bahawa beliau menamatkan pendidikan sekolah menengah atas, seperti yang disyaratkan undang-undang pilihan raya bagi membolehkan seseorang memegang jawatan itu.
Menurut Prasetyo, perkara itu dibangkitkan selepas Gibran mengadakan pertemuan selama dua setengah jam dengan Presiden Prabowo Subianto semalam.
Media tempatan melaporkan, pertemuan itu berlangsung di kediaman rasmi Presiden di kompleks Widya Chandra, Jakarta.
Prasetyo berkata, Gibran menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan susulan perkembangan berkaitan keputusan Mahkamah Perlembagaan dan Mahkamah Agung.
Beliau berkata, Gibran turut meminta diberikan peluang untuk membuktikan perkara itu menerusi prosiding di Mahkamah Pentadbiran Negara.
Sementara itu, Gibran ketika ditemui pemberita selepas pertemuan di istana Presiden menganggap Prabowo ‘seperti seorang bapa’ dan menghargai segala nasihat yang diberikan.
“Antara nasihat beliau ialah supaya saya terus memperjuangkan perkara ini menerusi prosiding di Mahkamah Pentadbiran Negara serta memfailkan permohonan semakan sivil terhadap keputusan Mahkamah Agung,” katanya.
6 Oktober lalu, Mahkamah Perlembagaan menolak petisyen yang mencabar kelayakan Gibran, namun dalam alasannya, mahkamah menyatakan tidak menemukan dokumen yang membuktikan beliau menamatkan pengajian di luar negara yang setaraf dengan pendidikan sekolah menengah atas.
30 Oktober lalu, Mahkamah Agung memutuskan untuk membatalkan sijil kesetaraan kelayakan sekolah menengah yang digunakan Gibran bagi mendaftarkan diri sebagai calon naib presiden pada Pilihan Raya 2024.
Perkembangan itu berlaku ketika anggota Parlimen Indonesia bersiap sedia mengemukakan usul menyatakan pendapat terhadap Gibran, yang merupakan antara langkah ke arah kemungkinan proses pemecatan beliau daripada jawatan.- AGENSI
The post Isu sijil pendidikan dorong Gibran mahu letak jawatan appeared first on Utusan Malaysia.
