Isu stoking: Bekas juruteknik didakwa sekali lagi buat hantaran hina Islam

18 Apr 2024 • 7:28 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Seorang bekas juruteknik sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan membuat hantaran menghina agama Islam berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah melalui Facebook miliknya, Mac lepas.

Chiok Wai Loong, 35, yang memakai baju penjara berwarna merah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Chiok didakwa petang ini selepas Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin pada 22 Mac lepas yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 terhadap tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan serupa.

Lelaki itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil “Chiok Wai Loong” pada 18 Mac lepas yang kemudiannya hantaran itu dilihat di Taman Sri Jati, Brickfields pada 3 pagi hari yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Siti Aminah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan tidak mengenakan syarat tambahan terhadap lelaki itu serta menetapkan 23 Mei untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh dan Nurilya Ellyna Nor Azmal, manakala peguam Latheefa Koya, Zaid Malek dan Nabila Khairuddin mewakili Chiok.