Isu Subkontraktor Tidak Dibayar: 'Kena Tanya Kementerian Berkaitan' - PM

LocalPolitics
18 Oct 2022 • 3:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Baru-baru ini, timbul dakwaan kononnya hutang kepada segelintir subkontraktor projek Lebuhraya DASH belum dibayar sehingga menyebabkan kesukaran kepada komuniti terlibat yang didakwa lebih RM80 juta. - Gambar oleh Abdul Razak Latif

KUALA LUMPUR - Isu berhubung hutang yang didakwa belum dilunaskan kepada segelintir subkontraktor Projek Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) perlu dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof lebih mengetahui dengan terperinci punca sebahagian subkontraktor masih tidak menerima bayaran.

image is not available
Ismail Sabri Yaakob - Gambar oleh Syeda Imran

“Itu (isu bayaran subkontraktor) saya tidak tahu, kena tanya kementerian berkaitan. Kalau tak dibayar sepatutnya tidak boleh perkara itu dilakukan tetapi mungkin ada sebab kenapa ia tidak dibayar.

“Saya pun tak tahu, itu sebab kena tanya perincian itu kepada kementerian berkaitan.

“Sepatutnya setiap projek yang disiapkan harus dibayar mengikut perjanjian ditetapkan,” katanya ketika ditemui media pada Mesyuarat Kontraktor Melayu Malaysia Kali Ke-43 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.

Terdahulu, timbul dakwaan kononnya hutang kepada segelintir subkontraktor projek Lebuhraya DASH belum dibayar sehingga menyebabkan kesukaran komuniti terlibat.

Peguam mewakili subkontraktor terbabit, Mathew Thomas Philip berkata, beliau akan membantu mereka mendapatkan kembali hutang yang didakwa lebih RM80 juta.

Menerusi perkongsiannya di Facebook, beliau berkata, beberapa bentuk peraturan harus diwujudkan dalam projek infrastruktur kegunaan awam untuk memastikan keadilan kepada semua yang bertungkus-lumus dalam pembangunan projek berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan kos sebenar pembinaan DASH sehingga boleh menimbulkan isu kewangan termasuk hutang berkenaan.

DASH dibuka secara rasmi pada 14 Oktober lalu dengan pelancarannya disempurnakan Ismail Sabri.

Lebuh raya sepanjang 20.1 kilometer (km) itu menghubungkan tiga lebuh raya utama melalui Koridor Guthrie (GCE); Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

Ia juga menghubungkan 13 persimpangan keluar masuk dari TTDI ke Puncak Alam. - Getaran, 18 Oktober 2022.