Isu surat layang FAM, SPRM jalankan siasatan terperinci

LocalPolitics
5 Apr 2024 • 4:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar kecil: Azam Baki

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan membabitkan isu surat layang yang ditujukan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, berdasarkan kepada aduan awam, pihaknya telah menjalankan siasatan sejak dua hari lalu.

Beliau berkata, SPRM juga telah mengambil beberapa fail daripada FAM sebagai sebahagian daripada urusan siasatan.

"Kebanyakan isu yang disebut (dalam surat layang) tersebut berkaitan hal pentadbiran, maka SPRM tidak akan meneliti perkara tersebut.

"Sebaliknya, SPRM hanya akan membuat siasatan terhadap dakwaan isu jenayah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Azam berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan sebarang butiran lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

Untuk itu tegas beliau, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu tersebut.

Sebaliknya kata beliau, SPRM seharusnya diberi ruang untuk menjalankan siasatan lanjut.

Menurut beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan secara profesional dan bertindak adil kepada semua pihak yang terlibat.