Isu tarik balik pingat naib johan rentas desa MSSD Semporna selesai

LocalPolitics
18 Apr 2025 • 4:05 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Raisha Dania

Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyelesaikan secara baik isu penganjur Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Semporna yang didakwa menarik balik pingat naib johan atlet bimbingannya tanpa siasatan secara adil.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata KPM telah mengambil maklum mengenai perkara terbabit disamping mengesahkan satu pertemuan telah diadakan bersama semua pihak berkaitan bagi menyelesaikannya secara harmoni.

“Kita ambil maklum tentang berita tersebut dan saya ingin maklumkan bahawa isu tersebut telah diselesaikan dengan secara baik di semua peringkat.

“Jadi peranan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru, sekolah, ibu bapa dan keluarga (pelajar) telah pun menyelesaikan perkara ini dengan secara baik.

“Kita juga ambil maklum dan ambil tanggungjawab untuk menyelesaikan perkara ini sehingga ia selesai. Jadi saya ingin maklumkan ia telah pun selesai secara baik dan Insya-Allah apa sahaja isu yang berbangkit, kita sentiasa ada ruang untuk berbincang dan untuk menilai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita seleas merasmikan Seminar Kepimpinan Madani: Cakna Pendidikan Digital bertempat di Dewan Resital Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, Khamis.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin.

Dalam pada itu, Fadhlina turut berkata pihaknya juga bersedia membuat siasatan susulan berkenaan perkara terbabit sekiranya terdapat isu dibangkitkan atau dakwaan lain yang berkaitan.

“Kalau ada dakwaan yang tidak betul dan sebagainya kita sedia untuk siasat dan JPN memberikan komitmen penuh kepada isu-isu yang dibangkitkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain berkaitan isu tular itu, seorang individu dan aktivis dikenali sebagai Mukmin Nantang menerusi hantarannya di Facebook mendakwa atlet lelaki dibawah bimbingannya itu dituduh menaiki kenderaan ketika pertandingan pada Sabtu lepas.

Susulan itu, pingat yang disampaikan di atas pentas secara rasmi kemudian dirampas tanpa sebarang sesi pembelaan atau proses siasatan formal dimana kemudian ia diberikan kepada peserta yang mendapat tempat ketiga.

Setakat Khamis, hantaran itu telah mendapat sekitar 17,000 perkongsian.