Susulan isu tular mengenai minggu orientasi di sebuah universiti awam, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. menyatakan tiada keperluan untuk memansuhkan pelaksanaan minggu orientasi.
Katanya, minggu orientasi dilaksanakan di universiti seluruh negara adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada mahasiswa baru menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus.
“Orientasi itu seharusnya menjadi program untuk menyesuaikan diri (membabitkan) pelajar baharu yang datang ke sebuah universiti, kolej dan sebagainya bagi tempoh yang panjang, mungkin ada yang empat tahun, ada tiga tahun.
“Pengisiannya penting sebagai proses sosialisasi untuk pelajar mengenali di antara satu sama lain, kedua ialah untuk penyesuaian diri mereka dengan tempat (universiti) berkenaan dan ketiga dari segi membina tradisi penting,” katanya.
Terdahulu, tular video yang merakamkan minggu orientasi atau Minggu Destini Siswa di sebuah universiti awam di Johor yang membuat babak lakonan bertengkar sebelum dikejutkan dengan kejutan hari lahir salah seorang fasilitator.
Video berkenaan mengundang kecaman ramai kerana dianggap tidak sesuai untuk dipertontonkan.
Dalam pada itu, Zambry berkata pihaknya telah memaklumkan kepada pengurusan universiti berkenaan dan menggesa supaya perkara itu tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.
Sumber: Malaysia Gazette
The post ‘Isu video prank, tiada keperluan memansuhkan minggu orientasi di universiti’ – Menteri appeared first on The Reporter.




