Itali Isytihar Darurat Susulan Kebanjiran Pendatang

12 Apr 2023 • 1:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, Itali menyaksikan peningkatan ketara kemasukan pendatang dan pelarian yang mendarat di pantai selatannya dari Afrika Utara. - Gambar AFP

ATHENS - Itali pada Selasa mengisytiharkan darurat selama enam bulan bagi menangani lonjakan kebanjiran pendatang asing yang tiba di negara itu melalui Laut Mediterranean, lapor media tempatan.

Kerajaan meluluskan langkah itu susulan cadangan oleh Menteri Perlindungan Awam Nello Musumeci, menurut Agensi Anadolu memetik agensi berita ANSA.

“Masalah tidak akan selesai selagi tiada campur tangan dan tanggungjawab oleh Kesatuan Eropah,” kata Musumeci.

Dalam tempoh darurat ini, prosedur dan tindakan yang lebih pantas boleh dilaksanakan untuk menawarkan penyelesaian penerimaan pendatang dalam tempoh masa yang singkat dengan piawaian standard.

Sementara itu, Perdana Menteri Giorgia Meloni berkata keputusan itu bertujuan untuk membolehkan respons yang lebih berkesan dan tepat pada masanya terhadap pengurusan aliran pendatang.

Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, Itali menyaksikan peningkatan ketara kemasukan  pendatang dan pelarian yang mendarat di pantai selatannya dari Afrika Utara dengan lebih 3,000 orang tiba sejak tiga hari lepas. - Bernama

View Original Article