Samsung Galaxy Fold akhirnya akan mula dijual semula pada bulan ini selepas ditangguh kerana masalah pada skrin yang terlalu mudah mengalami kerosakan. Bagi mereka yang mungkin berminat memiliki peranti skrin boleh lipat ini, kerisauan pastinya wujud dalam bentuk sokongan aplikasi. Samsung hari ini mengatakan ratusan aplikasi di Google Play sudah dioptimasikan untuk digunakan pada Galaxy Fold.

Samsung bekerjasama dengan Google sejak April 2018 bagi membolehkan aplikasi yang dengan mudah berubah mengikut pelbagai saiz skrin digunakan pada Galaxy Fold. Tambahan lagi menerusi Android 10, Google memperkenalkan fungsi aplikasi pelbagai saiz skrin, kesinambungan aplikasi dan pelagak Android yang membolehkan pembangun menghasilkan aplikasi untuk peranti skrin boleh lipat.
