
KUALA LUMPUR - Tidak ada sebarang perbincangan mengenai kemungkinan Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengambil alih jawatan Menteri Besar Selangor, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Itu pandangan beliau (Amirudin). Dia tidak berbincang dengan saya pun,” katanya ketika diminta mengulas cadangan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari supaya Nurul Izzah menggantikannya.
Amirudin sebelum ini dilaporkan berkata beliau telah menyampaikan cadangan tersebut kepada Nurul Izzah dan terpulang kepadanya untuk membuat keputusan.
Mengenai kesediaan Ahli Parlimen Gombak itu menerima tanggungjawab di peringkat Persekutuan, Anwar menjawab: “Pilihan raya bila? Masih lama lagi… kita bincang kemudian.”
Perdana Menteri juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai kemungkinan rombakan Kabinet.
“Rombakan itu bagi mengisi kekosongan. Boleh cadangkan beberapa nama? Saya akan pertimbangkan,” katanya berseloroh ketika diminta mengulas mengenai perkara itu selepas menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Johannesburg.
Mengulas pandangan bahawa Amirudin bersedia menyertai pentadbiran Persekutuan, Anwar berkata: “Itu satu jawatan sahaja. Sekurang-kurangnya ada tiga kekosongan.”
Dalam pada itu, ketika sesi soal jawab, beliau turut menyambut baik cadangan supaya kerajaan menubuhkan Pusat Pengajian Afrika bagi memperluas pemahaman terhadap 54 negara di benua tersebut.
“Saya akan pertimbangkan. Cadangan yang baik,” katanya.
“Kita ada Pengajian Eropah, kita memahami sejarah Amerika, dan kita biasa dengan tamadun India, tetapi kita kurang memahami Afrika secara keseluruhan, termasuk Amerika Latin,” kata Anwar yang berada di Johannesburg bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20.
Menyentuh gesaan supaya lebih banyak pelaburan Malaysia dibawa ke benua Afrika, Anwar berkata komuniti perniagaan merupakan pihak terbaik untuk meneroka peluang dan membuat keputusan komersial.
“Peranan kerajaan adalah menggalakkan dan memudah cara,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Anwar menggesa rakyat Malaysia di luar negara untuk sentiasa memberikan yang terbaik dan tidak cepat berpuas hati.
"Lakukan yang terbaik. Kita perlu menimba ilmu, tetapi bukan sekadar memperoleh atau menyerap ilmu.
"Kita juga mesti komited menyebarkan perkara yang benar, yang betul dan yang adil,” katanya. - 22 November, 2025
The post ‘Itu pandangan Amirudin’, kata Anwar berhubung Nurul Izzah dicadang pengganti MB Selangor appeared first on Scoop.

