
PETALING JAYA – Rapid KL menjelaskan pelekat bertulis ‘Mesra Haiwan Peliharaan’ yang dilihat pada tempat duduk sebuah tren merupakan sebahagian daripada bahan pengiklanan dan bukan petanda haiwan peliharaan dibenarkan menaiki pengangkutan awam berkenaan.
Penjelasan itu dibuat selepas seorang pengguna Threads, @batrisyiardani_ mempersoalkan kewujudan pelekat berkenaan sehingga menimbulkan kekeliruan mengenai dasar membawa haiwan peliharaan ke dalam LRT.
“Salam hormat, sebenarnya itu pelekat iklan, ada satu set sebaris itu. Untuk makluman, haiwan jenis apa pun tidak dibenarkan dibawa naik tren atau bas kami. Harap maklum, terima kasih,” kata Rapid KL menerusi akaun rasminya.
Terdahulu, pengguna berkenaan memuat naik gambar pelekat tersebut sambil mempersoalkan sama ada perkhidmatan LRT kini mesra haiwan peliharaan.
“Aku naik LRT hari-hari tahu, tapi sejak bila pula LRT jadi mesra haiwan? Takkan nak duduk sama-sama dengan anjing pula,” tulisnya.
Bagaimanapun, penjelasan Rapid KL itu turut mengundang reaksi pengguna media sosial yang menyifatkan paparan iklan berkenaan boleh mengelirukan orang ramai.
Pemilik hantaran asal mencadangkan supaya cara iklan berkenaan dipaparkan diubah bagi mengelakkan salah faham.
“Mungkin boleh ubah cara iklan itu dipaparkan. Kalau macam ini memang boleh salah faham dan nanti ada yang bawa sahaja. Sekadar cadangan,” katanya.
Seorang pengguna, @aidayaticy turut menyifatkan pelekat berkenaan sebagai sangat mengelirukan.
“Kalau seseorang faham secara berbeza dan memilih untuk membawa haiwan peliharaan mereka ke dalam tren, itu bukan salah mereka. Saya tidak akan menyalahkan mereka. Tolong pertimbangkan untuk menukar pelekat itu,” katanya.
Sementara itu, @nojie_crochetsempoi pula berkata, paparan sedemikian dibimbangi menyebabkan orang ramai menyangka haiwan peliharaan dibenarkan dibawa menaiki tren.
“Pelekat ini mengelirukan sebab nanti memang akan ada yang bawa naik segala haiwan walaupun mereka dah tahu tak boleh bawa haiwan,” katanya.– KOSMO! ONLINE
The post Itu pelekat iklan, tetap tak boleh bawa haiwan peliharaan masuk LRT – Rapid KL appeared first on Kosmo Online.
