Ivory Properties batal perjanjian penjualan tanah dengan Chin Hin susulan pembubaran anak syarikat

LocalBusiness & Finance
17 Apr 2025 • 11:29 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ivory Properties batal perjanjian penjualan tanah dengan Chin Hin susulan pembubaran anak syarikat

image is not available

17/04/2025 - 11:29

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 April - Syarikat Nota Amalan 17 (PN17), Ivory Properties Group Bhd membatalkan rancangannya untuk melupuskan tanah pegangan bebas di Pulau Pinang kepada Chin Hin Group Property Bhd.

Keputusan untuk membatalkan perjanjian tersebut dibuat susulan penggulungan sukarela oleh pemiutang ke atas anak syarikatnya, Ivory Gleneary Sdn Bhd.

"Memandangkan Ivory Gleneary kini berada dalam proses penggulungan, segala urusannya dikendalikan oleh pelikuidasi yang dilantik," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Ivory Properties menjelaskan, mereka mematuhi keputusan pelikuidasi untuk membatalkan perjanjian jual beli antara Ivory Gleneary dan Chin Hin Property (Penang) Sdn Bhd (CHPPSB) bagi pelupusan tanah tersebut, serta perjanjian hak eksklusif yang melibatkan Ivory Utilities Sdn Bhd (IUSB), BKG Development Sdn Bhd dan CHPPSB, yang telah ditandatangani pada Januari 2024.

Perjanjian itu melibatkan sebidang tanah seluas 0.5 hektar, yang merupakan sebahagian daripada pembangunan Penang Times Square dan telah diperuntukkan untuk projek kediaman bertingkat tinggi.

Dalam makluman berasingan di Bursa Malaysia, Chin Hin berkata, pembatalan perjanjian tersebut dibuat kerana Ivory Gleneary berhasrat menjual tanah itu kepada pembeli pihak ketiga.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian pembatalan, Ivory Gleneary akan memastikan pembeli baharu membayar RM2 juta kepada CHPPSB sebagai pampasan dan ganti rugi yang telah dipersetujui.

Jaminan peribadi yang diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ivory Properties Group, Datuk Low Eng Hock — yang bertujuan untuk menjamin obligasi IGSB di bawah perjanjian jual beli — juga akan dilepaskan sebagai sebahagian daripada proses pembatalan. - DagangNews.com

standard