Wanita jadi mangsa cubaan ragut

2 Nov 2019 • 6:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Polis hari ini mengesahkan kejadian seorang wanita yang cuba diragut di hadapan sebuah kondominium Mont Kiara oleh lelaki yang menunggang motosikal Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, polis telah membuat semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian melalui penelitian awal video yang tular di media sosial.

"Rakaman CCTV mendapati kejadian itu adalah cubaan ragut. Seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal berpakaian seragam dan ada kotak penghantaran makanan cuba meragut beg tangan mangsa yang sedang berdiri di hadapan kondominium itu," katanya melalui kenyataan media.

Beliau berkata, melalui rakaman itu mangsa berjaya menarik kembali beg tangannya.

"Setakat jam 4 petang ini, kita masih belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kejadian tersebut," katanya.

Zairulnizam menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika berjalan di kawasan persendirian dan tumpuan awam bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah ragut.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian cubaan ragut boleh membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 0322979222.


View Original Article