IPOH - Kesungguhan seorang lelaki orang asli dari suku kaum Temiar, Arifin Long Chor, 43, berdakwah sehingga berjaya mengislamkan lebih 200 orang asli melayakkan beliau dinobatkan Anugerah Pendakwah pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di sini hari ini.
Mengakui berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran selepas menerima pentauliahan sebagai pendakwah daripada Jabatan Agama Islam Perak pada tahun 2000, namun ia tidak pernah mematahkan semangat ayah kepada lapan cahaya mata itu untuk terus berdakwah.
Katanya, perasaan sayang dan cintakan agama Islam serta Nabi Muhammad SAW menjadi pembakar semangat buat beliau terus menyebarkan dakwah Islam dalam kalangan masyarakat orang asli.
Berasal dari dari Kampung Gentes, Pos Piah, Sungai Siput dekat sini, katanya, sebelum ini keluarganya menganuti agama Bahai dan Kristian sebelum memeluk Islam pada tahun 1991.
"Banyak agama kami cuba anuti, namun setelah kampung kami sering didatangi seorang ustaz, kami mendapat hidayah dan terus memeluk agama Islam," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Kemenangan dalam kategori Anugerah Pendakwah itu membolehkan Arifin menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan sijil yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Dalam pada itu, Anugerah Keluarga Mithali pula dianugerahkan kepada bekas tentera, Ahmad Shahabuddin Abd Rashid dari Kampung Kuala Slim, Slim River.
Ketegasan bapa kepada sembilan cahaya mata itu dalam menitikberatkan agama dan pendidikan berjaya membesarkan anak-anak hingga menempa nama antaranya sebagai pensyarah, jurutera, pegawai bank dan pakar psikiatri.
Keluarga bestari itu dikurniakan RM5,000 dan sijil penghargaan.
Pada sambutan tersebut Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan anugerah masjid bagi kategori siak, bilal dan imam.

