
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Komunikasi dengan rakan sekerja memang satu keperluan, bukan pilihan. Ini kerana banyak urusan yang perlu dilakukan secara bersama dalam memastikan setiap tugasan berjalan lancar.
Namun begitu, apabila melibatkan interaksi antara lelaki dan perempuan batas dan adab perlu sentiasa dipelihara dengan penuh kesedaran.
Entah di mana silapnya… ada di kalangan kita yang terleka dan terlupa bahawa gurauan berlebihan atau perkongsian hal peribadi yang terlalu mendalam, mahupun keakraban yang keterlaluan boleh membuka ruang kepada salah faham dan situasi yang tidak baik.
Malah situasi ini lebih runcing apabila kini timbul fenomena seperti “office wife” dan “office husband” akibat sedikit kelalaian dalam menjaga ikhtilat, batasan pergaulan dan hubungan emosi yang tidak wajar.
Terbaharu Jabatan Mufti Negeri Perak tampil berkongsi garis panduan pergaulan di pejabat bagi membendung fenomena ini.
Apa itu office wife & office husband?
Secara amnya, istilah “office wife” dan “office husband” atau turut dipanggil “office spouse” merujuk kepada hubungan akrab antara dua rakan sekerja berlainan jantina.
Ada yang sekadar berkongsi masalah peribadi, menjadi tempat untuk meluahkan sesuatu perkara dan ada juga yang sampai ke tahap meluangkan masa bersama seolah-olah pasangan suami isteri.
Walaupun hubungan “office wife-husband” ini sering bermula dengan niat suci “berkawan’, tetapi godaan syaitan yang licik menyelinap masuk melalui celah-celah kelekaan.
Memetik Jabatan Mufti Negeri Perak, fenomena yang bermula daripada pelbagai faktor seperti gurauan ringan atau berkongsi makanan atau mesej peribadi sehingga membuka pintu kecurangan emosi ini amat berbahaya kerana boleh menghancurkan rumah tangga dan Islam sendiri melarang sekeras-kerasnya perkara ini. Malah ia termasuk di dalam zina hati.
Firman Allah di dalam al-Quran pada surah al-Isra’ ayat 32:
وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةًۭ وَسَآءَ سَبِيلًۭ
Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.
Menurut jabatan itu lagi, larangan berdua-duaan (khalwat) antara lelaki dan wanita bukan mahram adalah bertujuan untuk menjaga maruah diri, agama dan keharmonian masyarakat.
Malah ia juga mempunyai hikmah tersendiri kerana:
- Dapat menutup pintu zina (sadd al-zarai)
- Memelihara maruah dan kehormatan diri
- Menjaga agama dan kekuatan iman
- Menjamin keselamatan fizikal dan psikologi
- Memelihara keharmonian sosial dan sistem hisbah/undang-undang.

Adab Ikhtilat dan Pergaulan Semasa Bekerja
Bagi mengekang perkara ini, Jabatan Mufti Perak turut berkongsi beberapa panduan adab ikhtilat dan pergaulan semasa bekerja yang boleh menjadi dijadikan rujukan oleh orang ramai antaranya:
- Menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan.
- Menutup aurat dengan sempurna serta memilih pakaian yang tidak ketat atau menjolok mata.
- Elak berdua-duaan di ruang tertutup dan mengutamakan ruang terbuka atau adanya pihak ketiga.
- Menjaga suara seperti tidak menggunakan nada manja yang boleh menggoda, bergurau secara berlebihan dan bercakap sekadar perlu.
- Elak sentuhan fizikal seperti bersalaman, bertepuk bertampar, bersentuhan dan seumpamanya.
- Elak gunakan perkataan-perkataan “double meaning” yang boleh menyebabkan salah faham.
Langkah praktikal untuk atasi masalah ini
Selain itu jabatan berkenaan turut mengesyorkan beberapa langkah praktikal untuk mengatasi perkara ini iaitu:
- Hadkan hubungan dengan rakan sekerja bukan mahram kepada urusan kerja sahaja tanpa berkongsi masalah rumah tangga, konflik dengan pasangan atau rahsia peribadi.
- Elak makan berdua-duaan, pulang bersama, saling bertukar hadiah atau berbalas mesej peribadi di luar waktu kerja.
- Jaga adab digital seperti tidak menghantar mesej bergurau, emoji romantik, pesanan suara (voice note) yang beremosi atau perbualan larut malam dengan rakan sekerja.
- Sekiranya sudah berkeluarga, berilah keutamaan emosi dan sokongan kepada pasangan dan sekiranya wujud keserasian emosi “chemistry” di pejabat, segera menjauhkan diri dan minta pertukaran tugas jika perlu.
Tambah jabatan itu lagi, organisasi juga digalakkan menetapkan kod etika ikhtilat, polisi gangguan seksual dan saluran aduan yang selamat.
Bagi kes gangguan seksual, hubungi talian hotline rasmi (talian kasih) melalui talian bebas tol 15999 atau whatsapp ke talian 019-2615999 atau menerusi aplikasi Talian Kasih.
Tegas jabatan itu lagi, secara tuntasnya perbuatan yang tidak bermoral dan songsang ini boleh mencetuskan fitnah, tohmahan dan syak wasangka orang lain serta berpotensi membawa mudarat yang lebih besar seperti tergelincir ke dalam maksiat, zina dan kemerosotan sifat mawaddah dan kasih sayang dalam sesebuah institusi keluarga.
“Perbuatan khalwat ini adalah ruang yang luas bagi syaitan memasuki ruang fikiran, meledakkan nafsu serakah dan merosakkan akhlak terpuji anak Adam serta menimbulkan taufan fitnah.”
Jabatan Mufti Negeri Perak
Oleh itu, marilah sama-sama kita bertaubat kepada Allah SWT, memohon keampunan atas segala kesalahan yang lalu serta berdoa agar dipelihara daripada segala keburukan di dunia dan akhirat seterusnya dikurniakan menjadi hamba-hamba yang soleh dan bertakwa.
Jika dulu pernah tersilap langkah, anggaplah ia satu pengajaran dan petunjuk dari Allah Maha Esa kerana membuka mata hati kita yang alpa agar tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama.
Ingat jua hari ini adalah peluang baru untuk membetulkan arah, kerana yang salah, tak wajar diulang walau pernah nampak indah.
Baca Artikel Berkaitan: Penjawat Awam Boleh Dipenjara Jika Jalin Hubungan Dengan Suami Atau Isteri Orang

