Jabatan Audit Negara beri pendedahan ciri penyata kewangan teratur kepada Majlis Agama Islam

13 Feb 2024 • 2:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jabatan Audit Negara beri pendedahan ciri penyata kewangan teratur kepada Majlis Agama Islam

zulfadli

13/02/2024 - 14:42

KUALA LUMPUR 13 Feb - Jabatan Audit Negara (JAN) menganjurkan Kursus Pemantapan Penyata Kewangan Majlis Agama Islam di Akademi Audit Negara, Bandar Enstek, Negeri Sembilan, yang dihadiri seramai 70 peserta.

JAN memaklumkan, kursus yang julung kali diadakan itu menyasarkan peserta dalam kalangan yang dipertua/pengerusi/ketua pegawai eksekutif/setiausaha dan pegawai kewangan majlis agama Islam serta agensi berkaitan pengurusan baitulmal, zakat dan wakaf.

Katanya, objektif kursus berkenaan antara lainnya adalah untuk memberikan pendedahan kepada peserta tentang ciri-ciri penyata kewangan yang teratur dan mengukuhkan kefahaman peserta berkenaan perekodan item dalam penyata kewangan selaras dengan piawaian perakaunan yang diguna pakai.

"Selain itu, kursus ini diharapkan dapat menjadi platform perbincangan dalam usaha mengurangkan isu berkaitan pengurusan kewangan dan penyediaan penyata kewangan yang dibangkitkan semasa pengauditan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi merasmikan kursus tersebut, yang turut dihadiri pihak Akauntan Negara Malaysia, pegawai kanan atau wakil dari 13 Majlis Agama Islam Negeri/Persekutuan serta agensi berkaitan baitulmal, zakat dan wakaf.

Dalam ucapannya, Wan Suraya membangkitkan tentang peranan penting JAN sebagai semak dan imbang untuk meningkatkan ketelusan pengurusan zakat dan keyakinan pemegang taruh terutamanya pembayar zakat.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 8 Majlis Agama Islam diberikan Sijil Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Tahun 2022.

image is not available
Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi ketika berucap merasmikan Kursus Pemantapan Penyata Kewangan Majlis Agama Islam anjuran Jabatan Audit Negara.

Kursus selama 3 hari itu merangkumi topik antaranya pengenalan kepada Piawaian Perakaunan bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) dan Panduan Penyediaan Penyata Kewangan yang Teratur.

image is not available

image is not available

Selain itu, turut dibincangkan adalah topik berkaitan prakaunan dan Isu Pengauditan bagi utipan & Agihan Zakat, Aset Wakaf dan Harta Faraid serta kupasan berkaitan Pengurusan dan Sistem Kewangan Majlis Agama Islam. - DagangNews.com