
Kota Kinabalu: Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Sabah telah mengenal pasti lima cerun kritikal yang berisiko tinggi mengalami kejadian tanah runtuh di Kundasang, Ranau, susulan kajian pemetaan kejuruteraan geologi terperinci yang dijalankan di Kompleks Tanah Runtuh Kundasang (Zon A).
Penemuan itu diumumkan oleh Pengarah JMG Sabah, Dr Francis Tating, semasa Sesi Libat Urus dan Majlis Penyerahan Laporan Pemetaan Kejuruteraan Geologi Kundasang (Zon A) di sini, pada Selasa.
Sesi berkenaan turut menandakan pelancaran rasmi Projek Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun serta Pemasangan Sistem Amaran Awal (EWS) di Kundasang bagi tempoh 2025–2028, yang dihadiri wakil daripada 17 agensi termasuk Pejabat Daerah Ranau, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pelbagai agensi teknikal dan keselamatan.
Francis berkata projek itu dimulakan susulan kejadian tanah runtuh besar di Kampung Lembah Permai pada 2 Februari 2023, yang menyebabkan kerosakan teruk kepada beberapa rumah penduduk dan kemudahan inap desa.
“Selepas mesyuarat penyelarasan bersama Pejabat Daerah Ranau dan agensi kerajaan lain pada 10 Mac 2023, JMG telah diberi mandat untuk melaksanakan kajian lanjutan bagi menilai punca ketidakstabilan cerun serta mencadangkan langkah mitigasi jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata kajian tersebut meliputi kawasan seluas kira-kira empat kilometer persegi (km²) menggunakan teknologi moden seperti dron, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan tinjauan lapangan menyeluruh.
Kajian itu merekodkan 49 cerun serta mengenal pasti 79 kejadian tanah runtuh, kebanyakannya dikategorikan sebagai creep dan translational earth slide.
“Hasil analisis menunjukkan kira-kira 45.6 peratus kawasan kajian tergolong dalam kategori risiko sangat tinggi. Antara kawasan paling terjejas ialah Kg Lembah Permai, Kg Giman, Kg Desa Aman, Kg Muhibbah, Kg Sinisian dan Kg Liwagu,” katanya.
Lima cerun kritikal yang dikenal pasti itu terletak berhampiran kawasan perumahan dan jalan utama, termasuk Jalan Kundasang–Ranau dan Jalan Tamparuli–Ranau, yang sering digunakan penduduk serta pelancong.
Menurut Francis, sistem saliran lemah, paras air bawah tanah yang tinggi, struktur tanah lembut serta hujan berpanjangan dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyumbang kepada ketidakstabilan cerun di kawasan tanah tinggi berkenaan.
“Langkah mitigasi yang disyorkan termasuk pembinaan tembok gabion bertingkat, penstabilan cerun konkrit bertetulang, reprofiling, soil nailing serta pembinaan sistem saliran menyeluruh bagi meningkatkan keselamatan cerun,” jelasnya.
Katanya, Sistem Amaran Awal (EWS) akan dipasang secara berperingkat di cerun berisiko tinggi yang telah dikenal pasti, tertakluk kepada kelulusan pemilik tanah, bagi membolehkan pemantauan masa nyata dan tindakan kecemasan lebih pantas.
“Sistem ini penting untuk memperkukuh kesiapsiagaan komuniti serta memastikan pemindahan segera dapat dilaksanakan apabila perlu,” katanya.
Inisiatif tersebut, menurut beliau, meneruskan komitmen jangka panjang JMG dalam pengurusan risiko cerun, selepas projek pemetaan terdahulu sejak 2017 meliputi kawasan Kota Kinabalu (155km²), Ranau (380km²) dan Sandakan (10km²), dengan jumlah keseluruhan 545km² di seluruh negeri.
“Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen jabatan dalam menyediakan data geosains yang menyeluruh bagi menyokong perancangan guna tanah yang selamat dan pembangunan mampan di Sabah,” katanya.
Menerusi projek baharu bagi tempoh 2025–2028, JMG menyasarkan untuk memperkukuh kesiapsiagaan bencana, meningkatkan keupayaan pengurusan risiko cerun serta menyokong strategi mitigasi jangka panjang bagi mengurangkan impak tanah runtuh, khususnya di kawasan tanah tinggi Kundasang yang terkenal dengan aktiviti pelancongan dan pertanian.
“Pendekatan saintifik ini bukan sekadar mengenal pasti risiko, tetapi membina kefahaman bersama antara agensi dan komuniti tentang pentingnya pengurusan cerun secara bersepadu,” kata Francis.
Sementara itu, Penolong Pegawai Daerah Ranau (Bahagian Pembangunan), Farihah Mohd Jamian, berkata hasil kajian tersebut akan membantu pihak pejabat daerah menilai kesesuaian cadangan pembangunan masa depan dan memastikan keselamatan awam.
“Laporan ini memberi input penting bagi menentukan kesesuaian sesuatu pembangunan, khususnya di kawasan cerun. Kami juga menyeru penduduk supaya sentiasa menyelenggara sistem saliran dan segera melaporkan tanda-tanda awal pergerakan tanah di kawasan masing-masing,” katanya.
Menurut Farihah, sesi libat urus itu turut memberi peluang kepada agensi dan wakil komuniti bertukar pandangan mengenai keutamaan di lapangan serta langkah mitigasi yang realistik, di samping meningkatkan kesedaran terhadap bahaya geologi.
Program anjuran JMG Sabah itu berfungsi sebagai platform utama perkongsian data saintifik dan pandangan bersama agensi teknikal, pihak berkuasa tempatan serta media mengenai peranan geosains dalam pengurusan risiko tanah runtuh.
Dengan pelancaran projek baharu ini, JMG berharap dapat meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan Sabah terhadap risiko tanah runtuh sejajar dengan prinsip Malaysia Madani serta komitmen negeri terhadap pembangunan mampan.

