Jabatan Kerja Raya pantau rapi kejadian tanah runtuh

LocalPolitics
24 Mar 2025 • 7:37 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Nora Ahmad

PUTATAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan terus memperketat pemantauan terhadap kejadian tanah runtuh di seluruh negeri susulan beberapa insiden yang mengganggu infrastruktur, termasuk bekalan air di Sandakan baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata Jabatan itu sentiasa bersedia menangani kejadian tanah runtuh, termasuk memastikan sistem amaran awal dan pelan pengurusan trafik diaktifkan untuk mengurangkan gangguan.

“Di setiap daerah, JKR mempunyai pasukan pemantau yang akan menilai keadaan tanah runtuh atau jalan yang terjejas akibat banjir dan sebagainya.

“Sekiranya insiden berlaku, respons kecemasan dan pelan pengurusan trafik akan dilaksanakan bagi memastikan jalan raya dapat dilalui,” katanya.

Beliau turut mengulas kejadian tanah runtuh di Sandakan pada 20 Mac lalu yang menyebabkan paip utama pecah dan menjejaskan bekalan air.

“Jabatan Air Negeri Sabah sudah menyelesaikan kerja-kerja penyambungan paip pecah dan tekanan air beransur pulih secara berperingkat.

“Kami berharap bekalan air dapat kembali normal sebelum 25 Mac, lebih-lebih lagi dalam kesibukan penduduk membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri,” jelasnya.

Beberapa kejadian tanah runtuh turut dilaporkan di kawasan seperti Pensiangan-Keningau.

Shahelmey berkata bahawa Jabatan Kerja Raya melakukan pemantauan rapi di lokasi berisiko tinggi dan mengambil langkah pencegahan bagi memastikan keselamatan serta kestabilan infrastruktur.

Ahli Parlimen Putatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Keramat itu turut mengagihkan baucar kepada 200 keluarga berpendapatan rendah di kawasannya bagi membantu mereka membuat persiapan menjelang Syawal.