Jabatan Kesihatan Terengganu Ambil Sampel Makanan Di RnR Perasing

23 Dec 2023 • 1:19 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Jabatan Kesihatan Terengganu Tampil Beri Penerangan Isu Keracunan Makanan Tular Di RnR Perasing

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu dalam satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan pihaknya sudah mengambil sampel beberapa makanan daripada sebuah premis di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing.

Ia susulan tular dakwaan seorang wanita dilapor meninggal dunia kerana keracunan makanan selepas makan makanan yang dijual di premis tersebut.

Pengarah Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Hjh Kasemani binti Embong, berkata sampel itu diambil bagi membantu siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu berlaku.

“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah menjalankan siasatan terhadap premis terlibat bagi mengenal pasti punca sebenar berkaitan kejadian ini.

“Beberapa sampel makanan serta swab peralatan dan pengendali makanan telah diambil untuk membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan masih menunggu hasil keputusan analisis ke atas sampel-sampel yang diambil.

JKN Terengganu menegaskan bahawa pihaknya memandang serius mengenai kes keracunan makanan.

Jabatan berkenaan turut menasihati pengendali makanan agar sentiasa menitikberat aspek kebersihan serta keselamatan makanan dan minuman yang dijual bagi mengelakkan kes keracunan makanan.

Pada masa yang sama, JKN Terengganu menyeru orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga sebelum mengambil apa-apa juadah.

“Orang ramai perlu sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi,” katanya lagi.

Terdahulu, PKD Kemaman telah menerima satu makluman berhubung kejadian keracunan makanan melibatkan wanita berkenaan.

Wanita itu didakwa mengalami gejala keracunan makanan selepas makan makanan yang dibeli daripada sebuah premis di R&R tersebut.

Mangsa dilapor mengalami gejala sakit perut, cirit-birit dan muntah selepas memakan makanan yang dipercayai telah basi.

Kejadian berkenaan kemudian menjadi tular di media sosial dan mendapat perhatian warga maya selepas mangsa didakwa meninggal dunia.

JKN Terengganu turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga wanita tersebut.

Sumber: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu via Facebook