Jabatan khas Mahkamah Anak Negeri bakal ditubuh

15 Feb 2024 • 2:11 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tuaran: Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri (MAN) Sabah bakal ditubuhkan tahun ini agar MAN menjadi setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah transformasi itu bukan saja akan memartabatkan undang-undang adat Anak Negeri, tetapi juga memberikan imej berprestij dan berkaliber kepada Ketua-ketua Adat di mahkamah.

“Sebuah jawatankuasa khas melalui Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) juga ditubuhkan bagi penggubalan, pindaan dan penyemakan enakmen serta ordinan yang berkaitan.

“Langkah ini akan menaiktaraf sistem kehakiman Mahkamah Anak Negeri untuk menjadikannya setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah,” katanya di majlis perasmian penangguhan kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-Ketua Adat Cemerlang di Dewan Kebudayaan Pusat Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik di sini, Rabu.

SPONSORED CONTENT Mengalum for world’s first net ­zero carbon island resort Taiwan’s Sinyi Group is on track to unveil the world’s first unique net zero carbon island resort on Mengalum Island. . Read more Seramai 258 Ketua Adat merangkumi tiga Ketua Daerah, 20 Ketua Anak Negeri, 40 Wakil Ketua Anak Negeri, 194 Ketua Kampung dan seorang Kapitan (ketua masyarakat) Cina mewakili empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pantai Dalit, Sulaman, Tamparuli dan Kiulu, menghadiri kursus ini.

Sistem mahkamah anak negeri di Sabah yang ditubuhkan pada awal kehadiran British Chartered Company dan berterusan sehingga hari ini, menyelia hal-hal seperti pertikaian tanah dan juga yang bersifat peribadi.

Hukuman biasanya dalam bentuk sogit atau pampasan seperti kerbau atau babi atau yang setaraf dengannya, bergantung kepada jenis kesalahan.

Ia tidak boleh mendengar kes di bawah kanun keseksaan seperti serangan seksual, pembunuhan dan jenayah berat yang lain.

Pada masa lalu, ada kalanya Ketua Adat menjadi lantikan politik dan berat sebelah atau membuat penghakiman tanpa latar belakang atau pengetahuan undang-undang.

Kursus itu diadakan untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan pemahaman tentang undang-undang adat anak negeri.

Hajiji berkata Ketua Adat mempunyai tanggungjawab besar dalam usaha meningkatkan kemakmuran sosial dan adat anak negeri, yang memberi kesan positif kepada masyarakat setempat.

“Ketua Adat boleh memainkan peranan strategik dalam membimbing, menyokong, dan mendorong bagi pemerkasaan masyarakat tempatan, untuk membolehkan mereka menyumbang kepada agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” ujarnya.

Beliau turut menghargai Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) khususnya Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri Sabah (ILMAN) kerana berjaya menganjurkan kursus ini dengan kerjasama Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah dan Pejabat Daerah Tuaran, yang merupakan satu langkah penting ke arah memastikan ketua-ketua adat dilengkapi dengan pengetahuan dan kefahaman untuk menghadapi cabaran baharu.

“Ini turut membantu memastikan Undang-undang Adat Anak Negeri sentiasa dipatuhi dan dihormati.

“Saya berharap semua ketua adat yang menghadiri kursus ini mempraktikkan segala ilmu pengetahuan baharu sebagai landasan memantapkan adat di tempat masing-masing.

“Peranan ketua-ketua adat dan ketua kampung kini semakin mencabar, sekali gus memerlukan kebijaksanaan memimpin bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni,aman dan bersatu padu,” katanya.

“Saya berharap, hasil daripada kursus ini, Mahkamah Anak Negeri Tuaran, Kiulu dan Tamparuli akan menjadi penanda aras bagi mahkamah anak negeri lain di Sabah,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.