Jabatan Pendidikan Selangor: Elak aktiviti luar kelas jika IPU lebih 100

20 Jul 2025 • 5:36 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 20 JULAI: Pihak sekolah perlu menangguhkan aktiviti luar kelas jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan masing-masing merekodkan bacaan melebihi 100, yang dikategorikan sebagai tidak sihat.

Pengarah Pendidikan Negeri Selangor Dr Jafri Abu berkata semua sekolah perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua murid berada dalam keadaan baik.

“Semua sekolah termasuk pejabat pendidikan daerah (PPD) dibekalkan dengan surat siaran berhubung langkah perlu diambil sekiranya IPU di kawasan sekolah merekodkan bacaan sama ada tidak sihat atau bahaya.

“Saya mohon PPD dan sekolah teliti semula surat siaran tersebut dan jika merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 101, elak lakukan aktiviti di luar,” katanya kepada Media Selangor.

Tambahnya, arahan penutupan sekolah hanya dibolehkan sekiranya bacaan IPU mencatatkan pada paras sangat tidak sihat iaitu 201.

“Bagaimanapun, setiap hari jabatan pendidikan negeri sentiasa memantau keadaan semasa dan bacaan IPU pada setiap waktu,” katanya.

Sejak semalam, Banting dan Johan Setia mencatat bacaan IPU tidak sihat. Setakat 1.47 petang tadi, kedua-dua kawasan merekodkan bacaan 154.

Menurut Laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (Apims), Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan lain merekod paras tidak sihat ialah Putrajaya (119) dan Nilai, Negeri Sembilan (164).

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved