
Kota Kinabalu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah merampas 11 kenderaan mewah dalam operasi khas “Ops Luxury” yang dijalankan di seluruh negeri dari Jun hingga September tahun ini.
Pengarah JPJ Sabah Datuk Mohd Harris Ali berkata operasi itu menyasarkan kenderaan berprofil tinggi yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya yang tidak memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) sah atau perlindungan insurans.
Antara model yang ditahan ialah Bentley Continental, Lexus, Range Rover, Mercedes-Benz, Ford Ranger Raptor, BMW 320i, Ford Mustang, Nissan Skyline, Nissan Fairlady dan Land Rover Defender.
“Tindakan diambil terhadap pemilik, termasuk mengeluarkan saman serta merampas kenderaan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Langkah ini untuk menghentikan kesalahan daripada berulang sehingga pemilik melengkapkan dokumen mereka,” katanya dalam kenyataan, Khamis.
Daripada jumlah itu, tujuh kenderaan dirampas di Kota Kinabalu, dua di Tawau, masing-masing satu di Sandakan dan Beaufort.
Harris menasihatkan pemilik kenderaan supaya memastikan LKM dan insurans sentiasa sah bagi mengelak tindakan penguatkuasaan, selain menjamin perlindungan diri dan pengguna jalan raya lain sekiranya berlaku kemalangan.
Beliau menegaskan JPJ Sabah akan meneruskan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang di jalan raya.
JPJ turut mengingatkan orang ramai: “Pandu Cermat, Sampai Selamat.”

