Jabatan Perikanan Selangor tumpaskan aktiviti ambil anak kerang secara haram

LocalEnvironment
21 May 2026 • 10:27 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jabatan Perikanan Selangor tumpaskan aktiviti ambil anak kerang secara haram

SHAH ALAM, 21 MEI: Jabatan Perikanan Selangor mematahkan dua kegiatan pemilikan dan pengambilan anak kerang secara haram menerusi operasi berasingan di Sabak Bernam dan Kuala Selangor pada 16 Mei lalu.

Jabatan itu memaklumkan operasi pertama dijalankan di kawasan penempatan sekitar Sungai Haji Dorani hasil maklumat awam diterima berhubung aktiviti mencurigakan di lokasi berkenaan.

Menurutnya, operasi yang bermula 1.15 tengah hari itu menemukan 13 guni berisi bahan menyerupai pasir hitam yang disyaki anak kerang bersaiz kurang daripada empat milimeter (mm).

“Bagaimanapun, tiada individu tampil mengaku pemilik semua guni berkenaan ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Image from: Jabatan Perikanan Selangor tumpaskan aktiviti ambil anak kerang secara haram
Jabatan Perikanan Selangor mematahkan dua cubaan pemilikan dan pengambilan anak kerang secara haram dalam serbuan berasingan di Sabak Bernam dan Kuala Selangor pada 16 Mei 2026. Foto Facebook Jabatan Perikanan Negeri Selangor

Pada hari sama, Jabatan Perikanan Selangor turut menggagalkan kegiatan pengambilan anak kerang di sebuah jeti di Pasir Penambang, Kuala Selangor.

Katanya, serbuan itu membawa kepada rampasan 31 unit tangguk dianggarkan bernilai RM930 selepas sekumpulan individu melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Jabatan itu berkata tindakan tegas terus diperkukuh bagi membanteras kegiatan pengambilan anak kerang secara haram yang boleh mengancam kelestarian sumber perikanan dan ekosistem marin negeri.

View Original Article