Kecerdasan buatan (AI) di tangan yang betul menjadi alat meningkat produktiviti, mengesan kanser, meramal cuaca, mencari konfigurasi protein dan terkini mencari kerentanan sekuriti pada perisian serta sistem komputer. Penganalisa keselamatan awanan Sysdig awal bulan ini melaporkan mereka menemukan pula JadePuffer, perisian tebusan pertama yang dikawal menggunakan ejen AI.

JadePuffer melakukan tugas menyerang sistem tanpa arahan manusia. Sebaliknya ejen AI akan melakukan proses serangan langkah demi langkah sehingga sistem yang diserang berjaya ditembusi. Ia boleh menyesuaikan serangan seperti mana manusia berfikir. Sebagai contoh ia boleh mencuba semula langkah-langkah yang gagal dalam parameter yang diperhalusi.
Selepas data diakses ia dieksport keluar sebelum fail asal pada sistem yang diserang dipadam. JadePuffer kemudian meninggalkan nota sistem telah diserang dan memberikan jumlah tebusan yang perlu dibayar, akaun Bitcoin dan emel untuk dihubungi secara automatik. Ejen AI yang dibangunkan untuk menjalan kerja-kerja berulang manusia di tempat kerja kini memasuki era menjadi penggodam pula.
