Jadi contoh kepada masyarakat, CEUPACS seru semua penjawat awam segera daftar PADU

11 Jan 2024 • 5:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jadi contoh kepada masyarakat, CEUPACS seru semua penjawat awam segera daftar PADU

azan

11/01/2024 - 17:03

KUALA LUMPUR 11 Jan - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyeru semua penjawat awam agar segera mendaftar dengan Pangkalan Data Utama (PADU) sebagai usaha menyahut inisiatif daripada kerajaan.

Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, penjawat awam perlu menjadi contoh kepada masyarakat dalam memastikan kejayaan program PADU.

"Kita ada kira-kira 1.7 juta penjawat awam ketika ini dan sekiranya masing-masing mengambil tanggungjawab untuk mendaftar dengan lebih awal, CUEPACS yakin jumlah pendaftaran PADU akan meningkat dengan mendadak.

"CUEPACS difahamkan ketika ini jumlah pendaftaran baharu sahaja mencecah 1 juta beberapa hari lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, ketua jabatan perlu mengambil tanggungjawab bagi memastikan setiap kakitangan dan peringatan perlu diberikan kepada mereka secara berkala.

image is not available
Datuk Dr Adnan Mat (tiga dari kiri) menerima kunjungan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong di Wisma CUEPACS, hari ini.

Katanya, pengumpulan data-data penjawat awam ini amat penting bagi membolehkan kerajaan menilai kemampuan sebenar kewangan penjawat awam yang akan menjadi sebagai satu justifikasi bagi peningkatan gaji yang dicadangkan oleh pihaknya.

"Sokongan daripada semua pegawai awam untuk segera mengambil tindakan mendaftar sistem PADU wajar dijadikan sebagai salah satu agenda utama dalam semua organisasi sektor awam pada awal tahun ini," katanya.

Dalam pada itu, CUEPACS juga menyeru supaya semua pihak di luar sana tidak menyebarkan gambaran salah mengenai sistem PADU terutama mengenai aspek keselamatan sistem tersebut.

Adnan berkata, semua pihak perlu yakin bahawa sistem yang dibina sepenuhnya oleh pasukan penjawat awam daripada Kementerian Ekonomi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) adalah selamat dengan meletakkan komitmen terhadap keselamatan dan privasi data sebagai keutamaan tertinggi.

"Komitmen terhadap keselamatan dan privasi data turut menjadi keutamaan PADU seiring dengan saranan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) terutamanya dalam aspek penyimpanan maklumat. - DagangNews.com