Jadi keldai akaun, hidup Jacky bertukar mimpi ngeri

LocalPolitics
1 Dec 2024 • 8:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Jacky terpaksa meringkuk dalam penjara beberapa kali akibat menjadi keldai akaun sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian. Foto hiasan

IPOH - Seorang lelaki terpaksa meringkuk di dalam penjara beberapa kali akibat menjadi keldai akaun sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian sejak lima tahun lalu.

Mangsa yang mahu dikenali Jacky, 45, berkata, kes bermula selepas dia terpedaya pujukan rakan untuk menandatangani satu borang bank kononnya bagi tujuan pelaburan.

Dia yang ketika itu teruja mahu mendapatkan keuntungan dengan mudah bersetuju tanpa mengetahui namanya digunakan bagi tujuan keldai akaun.

“Sejak itu kehidupan saya berubah menjadi mimpi ngeri. Nama saya dikaitkan dengan pelbagai sindiket penipuan bukan sahaja di Perak, malah ada juga kes dilaporkan melibatkan mangsa di Selangor dan Pahang.

“Akibatnya sudah berkali-kali saya ditahan, naik turun mahkamah dan akhirnya membawa diri meringkuk dalam penjara,” katanya kepada Sinar Ahad.

Kali terakhir dia menjalani hukuman penjara pada tahun 2022 lalu dengan sabitan kes di bawah Seksyen 402 Kanun Keseksaan.

Jacky berkata, pengalaman itu membuatkan dirinya membuka mata bahawa isu scammer yang kian berleluasa ketika ini amat berbahaya.