Jadi Majikan GIG Industri Perfileman Malaysia, PROFIMA Sasar Skim i-Saraan KWSP Kepada Pekerja Sektor Filem Seluruh Negara

28 Jun 2023 • 5:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
PROFIMA mahu menggalakkan ahli-ahli mereka membuat caruman KWSP dibawah Skim i-Saraan - Gambar ihsan PROFIMA

Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) terus mengorak langkah sebagai persatuan industri kreatif yang kompeten apabila dilantik sebagai Majikan GIG yang pertama dalam kalangan persatuan perfileman tanah air.

Inisiatif ini tercapai menerusi kerjasama antara PROFIMA dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Wangsa Maju Kuala Lumpur pada majlis penyerahan surat lantikan yang telah diadakan di Menara KWSP Di Kwasa Damansara, Selangor, semalam.

Presiden PROFIMA, Khalil Haji Saleh berkata, menerusi lantikan ini, PROFIMA bertanggungjawab dalam menjalankan urusan berkaitan caruman atau simpanan KWSP dibawah Skim i-Saraan yang memberi kemudahan pada ahli untuk mencarum dengan mudah dan terjamin.

“Kami sememangnya menyokong caruman KWSP melalui Skim i-Saraan ini kerana ia banyak memberi manfaat kepada pekerja yang tidak mempunyai majikan dan bekerja sendiri serta ia dilakukan secara sukarela oleh pemegang akaun,” katanya. 

image is not available
Khalil Haji Saleh menerima watikah pelantikan PROFIMA sebagai Majikan GIG di Menara KWSP Di Kwasa Damansara, Selangor, semalam

Jelas Khalil lagi, matlamat asal program ini adalah KWSP mengiktiraf PROFIMA sebagai Majikan Gig yang layak berurusan sebagai majikan mewakili pekerja-pekerja sektor filem di seluruh negara. 

“PROFIMA juga meletakkan syarat wajib dalam pembaharuan akta persatuan bagi mewajibkan setiap ahli mempunyai nombor akaun KWSP.

“Menerusi perbincangan bersama ini, ia diharap dapat  membuka mata semua pihak pekerja gig terutama penggiat filem sama ada kru produksi, pengarah, pelakon dan semua yang terlibat untuk mengambil berat berhubung simpanan di KWSP melalui Skim i-Saraan.

“Bahkan, kita juga meletakkan harapan agar pekerja-pekerja filem seluruh Malaysia mengambil peluang terbaik ini dan menyasarkan seratus peratus ahli kami aktif dalam simpanan KWSP dan paling penting mempunyai akaun dibawah Skim i-Saraan,” katanya. 

image is not available
Usai acara majlis penyerahan surat lantikan yang diadakan di Menara KWSP

Susulan daripada ini, pihak PROFIMA akui akan akan berkempen untuk menyedarkan ahli-ahli agar membuat caruman KWSP.

“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana persatuan perfileman lain bagi hal berkaitan simpanan KWSP ini untuk manfaat bersama demi masa depan pada usia emas.

“Pada masa yang sama, kami juga berharap hubungan baik dengan KWSP akan berterusan di dalam kempen menggalakkan pekerja-pekerja filem menjadi ahli KWSP dan sedar kepentingan simpanan pekerja.

Majlis lantikan itu dihadiri Mohd Rodzi Abu Bakar (Ketua Jabatan Saluran Fizikal), Aznal Alias (Pengarah Wilayah Tengah), Noor Riah Mat Isa (Ketua Cawangan KWSP Wangsa Maju) dan pegawai-pegawai kanan KWSP.

Manakala PROFIMA pula diwakili Khalil Hj Saleh (Presiden), Shima Hanafiah (Setiausaha Agung), Azeem Azarudin (Bendahari Agung), Dewa Sapri (Penolong Setiausaha), Yusof Harun (Ketua Biro Perhubungan Agensi) dan pelakon, Zaidi Omar. – Getaran, 28 Jun 2023